Pusat tahfiz tak berdaftar kerana pengusaha tak bermoral

PETALING JAYA: Pengusaha yang enggan mendaftarkan pusat tahfiz dibidas kerana membahayakan keselamatan, kebajikan dan pembelajaran murid-murid.

Pengarah Pusat Penyelidikan Akademik Saudara, Wan Ji Wan Hussin berkata hanya golongan yang tidak bermoral enggan mendaftarkan pusat tahfiz walaupun pendaftaran itu untuk kebaikan murid-murid.

Semalam, Kementerian Wilayah memberi tempoh sehingga 31 Disember ini kepada pusat-pusat tahfiz yang beroperasi di Kuala Lumpur untuk mendaftar dengan Jabatan Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri Khalid Abdul Samad berkata kewajipan itu bagi memastikan pusat tahfiz menyediakan tahap keselamatan, kebajikan dan pembelajaran yang baik kepada murid-murid.

Wan Ji membidas pengusaha yang enggan mendaftarkan pusat tahfiz dan dalam masa yang sama mengutip derma bagi keperluan sekolah.

“Sikap yang tidak bermoral di sisi Islam,” katanya kepada FMT. “Kerajaan wajib memastikan keselamatan para pelajar supaya kejadian kebakaran pusat tahfiz dan masalah lain yang berlaku tidak akan berulang.”

Sementara itu, penasihat Gerakan Pembela Ummah, Ismail Mina Ahmad turut membidas segelintir yang menyalahgunakan kuasa kerana pengusaha sekolah sepatutnya mempunyai kesedaran pendidikan agama yang tinggi dan bukannya demi mengaut keuntungan.

Beliau berkata keengganan mendaftarkan sekolah “sikap yang tidak boleh diterima”.

“Bagi mengelakkan banyak lagi masalah tercetus di pusat tahfiz, saya mengalakkan semua pusat untuk berdaftar dengan segera agar keselamatan, kebajikan dan pembelajaran pelajar berada dalam keadaan baik.

“Islam amat mengalakkan menuntut ilmu kerana ia dikira sebagai penerapan fardhu ain tetapi setiap yang dilaksanakan haruslah tertib,” katanya.

Pandangan mereka turut diulangi aktivis masyarakat, Syed Azmi Alhabshi, yang mengingatkan mangsa sekolah-sekolah tak berdaftar adalah kanak-kanak yang menuntut di situ.

“Ia akan menjadi lebih sedih kerana golongan kanak-kanak yang belajar di pusat tahfiz selalunya terdiri daripada anak yatim, asnaf dan mereka yang tidak mempunyai dokumen,” katanya.

“Kanak-kanak seperti ini lebih terdedah kepada penderaan kerana tidak mampu bersuara.”

Beliau berkata kebanyakkan ibu-bapa menghantar anak ke tahfiz kerana percaya pihak pentadbiran sekolah akan menjaga anak-anak mereka.

“Kepercayaan yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada pusat tahfiz adalah satu nilai yang tinggi dan tidak boleh disalahgunakan oleh pihak tahfiz.”

Beliau menyeru kerajaan melantik pihak neutral untuk memantau pusat-pusat tahfiz agar masa depan kanak-kanak terjamin.