Rancang serangan bersenjata, 2 rakan dipenjara 3 tahun

Tertuduh mengaku tujuan utama serangan ialah menunjukkan sokongan kepada kumpulan Daesh dan mendakwa bangunan yang disasarkan adalah simbol kumpulan yang kepercayaannya bertentangan dengan Islam. (Bernama pic)

KUALA LUMPUR: Kerana merancang untuk melakukan serangan bersenjata ke atas sebuah bangunan di Johor tahun lalu, 2 rakan masing-masing dipenjara 3 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas Nik Muhamad Zaini Nik Hassan, 37, seorang juruteknik dan Ismadi Md [email protected] Ismail, 30, pengawal keselamatan selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah pada prosiding sebutan semula kes itu, hari ini.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Azman menasihati kedua-dua tertuduh supaya insaf atas perbuatan itu dan mereka seharusnya berterima kasih kerana telah ditahan sebelum berlakunya serangan yang dirancang, iaitu jenayah lebih serius yang mewajibkan hukuman berat, termasuk digantung sampai mati.

“Saya harap kamu sedar perkara ini. Bila kamu keluar penjara fikir keutamaan pada keluarga, fokus pada tanggungjawab kamu, kamu boleh berjaya. Jangan salahkan polis, salahkan mahkamah (kerana ditahan dan dijatuhi hukuman), sampai kesudahan hidup kamu tidak akan tenteram.

“Saya harap kamu keluar (penjara) nanti, kamu diberi peluang untuk fokus dalam hidup. Jangan salahkan orang lain selain diri kita. Ambil positif Tuhan sayangkan kamu, sebab itu kamu kena tangkap. Kalau kena tangkap dengan senjata api, berakhir dengan tali gantung,” kata hakim itu.

Hakim Azman memerintahkan kedua-dua lelaki itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 27 Feb lepas.

Pada 17 Ogos lepas, Nik Muhamad Zaini dan Ismadi mengaku tidak bersalah atas tuduhan dengan niat bersama untuk melakukan suatu perbuatan pengganas iaitu melakukan serangan terhadap sebuah bangunan di Nombor 1, Jalan Abu Bakar, Johor Bahru, Johor, antara 11 Dis 2017 dan 31 Jan lepas.

Tuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 130JD(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 7 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, kedua-dua tertuduh merancang melakukan serangan di sebuah bangunan berhampiran Pantai Lido di Johor Bahru dan bagi merealisasikan rancangan itu, mereka telah membuat 4 pertemuan di 3 buah restoran bagi membincangkan cara untuk mendapatkan senjata api dan lokasi sebenar serangan.

Walau bagaimanapun, pihak polis berjaya mematahkan rancangan kedua-dua tertuduh apabila mereka ditahan sebelum sempat melakukan serangan itu dan hasil siasatan, kedua-dua tertuduh mengakui tujuan utama serangan itu adalah untuk menunjukkan sokongan terhadap kumpulan pengganas Daesh dan mendakwa kononnya bangunan itu adalah simbol kepada suatu kumpulan yang mempunyai kepercayaan bertentangan dengan Islam.

Terdahulu ketika rayuan, peguam Sukhaimi Mashud yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara minimum dengan alasan penglibatan kedua-dua anak guamnya adalah minimal kerana hanya merancang melakukan serangan dan sehingga kini serangan itu tidak berlaku selain tiada sebarang senjata ditemui ketika mereka ditangkap.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry memohon hukuman setimpal mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan kedua-dua tertuduh dan peningkatan kes keganasan di negara ini.