Selain ‘arak beracun’, samsu juga membawa maut

Samsu diminum golongan miskin, terutamanya buruh India yang tinggal di kampung dan bekerja di ladang getah serta kelapa sawit.

KUALA LUMPUR: Amat menyedihkan membaca berita 36 orang (sehingga 23 Sept) yang maut disyaki akibat keracunan alkohol sementara 14 orang lagi masih berada dalam keadaan kritikal.

Menurut laporan media, daripada jumlah yang maut itu, 24 kes di Selangor, 9 di Kuala Lumpur dan 3 di Perak.

Mereka adalah antara 51 orang yang meminum 3 jenama minuman alkohol iaitu Mandalay Whiskey, Kingfisher Beer dan Grand Royal Whiskey yang dibeli daripada pelbagai kedai di Lembah Klang pada 17 Sept 2018.

Menurut laporan, semua mangsa mempunyai sejarah pengambilan cecair beralkohol yang mengandungi bahan beracun berkenaan.

Industri minuman keras Malaysia menghasilkan samsu (minuman keras yang murah) bernilai RM180 juta (AS$43.4 juta). Minuman ini mengandungi purata 38% alkohol dan boleh dibeli di pelbagai kedai runcit dan hampir di setiap kedai ubah Cina. Sebotol samsu bersaiz paling kecil boleh dibeli pada harga RM1.50 sahaja.

Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), meskipun Malaysia sebuah negara kecil, ia adalah pengguna alkohol ke-10 terbesar di dunia. Setiap tahun rakyat Malaysia membelanjakan lebih RM2 bilion (AS$500 juta) untuk alkohol. Pengambilan per kapita adalah 7 liter dan mereka yang meminum alkohol adalah pengguna tegar.

Di kalangan penduduk yang mengambil minuman keras, kaum India Malaysia yang terdiri daripada 8% penduduk negara ini, dilaporkan peminum tegar dengan pengambilan alkohol tahunan melebihi 14 liter.

Pengambilan bir di Malaysia adalah 11 liter per kapita dan setanding dengan negara Eropah yang diketahui tinggi pengambilan alkohol.

Semakin ramai juga rakyat Malaysia dilaporkan mengambil minuman keras kerana ia mudah dibeli di kedai kopi, pasar raya, kedai runcit dan di ladang-ladang. Tambahan pula terdapat kempen promosi serta iklan. Purata umur rakyat Malaysia yang mengambil minuman keras ialah 22 tahun atau mungkin lebih muda, bergantung di mana mereka tinggal.

Di Malaysia, mangsa terbesar minuman keras ialah golongan miskin, terutamanya buruh India yang tinggal di kampung dan bekerja di ladang getah serta kelapa sawit. Minuman keras adalah punca utama kemiskinan di kawasan berkenaan. Buruh-buruh berkenaan mengambil samsu dan todi (satu lagi bentuk minuman keras yang murah dan diperkenalkan sewaktu pemerintahan Inggeris). Daripada anggaran 200,000 peminum minuman keras itu, 75% mengambil samsu.

Masyarakat kampung India di Malaysia menganggap samsu sebagai pemusnah kehidupan mereka dan masalah ini semakin menjadi teruk.

Di sebalik keadaan itu, secara purata RM20 juta (kira-kira AS$5.5 juta) dibelanjakan setahun untuk membeli samsu. Minuman ini diisi dalam botol kecil antara 140-175ml dan dijual dengan harga semurah RM1.50-RM3.00 (AS$0.40–$0.80).

Dijual pada harga yang paling rendah, sudah tentunya minuman ini disasarkan untuk jualan kepada golongan miskin. Mereka yang kerap minum boleh menghabiskan 6 botol sehari, yang jika dikira harganya sehingga RM9.00 (AS$2.50) atau kira-kira 3 suku daripada upah harian mereka.

Di Malaysia, statistik oleh CAP menunjukkan 38% daripada mereka yang maut dalam kemalangan jalan raya adalah peminum alkohol, sementara 30% yang dimasukkan ke hospital terdiri daripada pesakit dengan kecederaan di kepala akibat pengaruh alkohol dan 10% dilapor menderita pelbagai masalah kesihatan.

Kira-kira 25% daripada mereka yang pencapaian kerja di bawah paras sederhana dilaporkan pengguna tegar alkohol dan 16% pula mungkin ponteng kerja.

Minuman samsu ini dikatakan mengandungi kandungan alkohol antara 37 hingga 70%. Jelas ketagihan alkohol adalah masalah yang menekan kehidupan penduduk kawasan kampung di Malaysia. Ia perlu diberi perhatian serius sebagai antara punca kemiskinan dan bukan dilihat sebagai isu berasingan.

Sehubungan dengan itu, kerajaan perlu mempunyai dasar yang jelas tentang alkohol dan pengambilannya. Minuman alkohol ini perlu dijadikan barangan terkawal.

Haramkan semua bentuk pengiklanan, tajaan dan kegiatan promosi oleh syarikat minuman keras termasuk pertandingan, tajaan sukan dan tawaran khas terutamanya pada musim perayaan.

Haramkan jualan arak dalam botol bersaiz kecil seperti 145 ml. Mesti ada had saiz botol dan hadkan juga waktu minum alkohol di pub.

Naikkan cukai ke atas alkohol. Perlu ada jadual cukai berasingan khusus untuk alkohol yang boleh mengawal kegiatan alkohol.

Tingkatkan penguatkuasaan undang-undang bagi menyekat penjualan haram arak terutama di kedai runcit dan rumah. Kuatkuasakan Lesen Kedai Bir ke atas kedai kopi bagi menyekat penjualan bir tanpa lesen.

Kegiatan mengawal alkohol perlu dilihat sebagai tanggung jawab kerajaan, sektor kesihatan dan masyarakat setempat.

Bangunkan program pemulihan, terutama di kawasan kampung dan penjagaan di hospital serta penjagaan di rumah.

Samsu adalah masalah serius di kalangan pekerja India dan sesetengah pekerja asing di negara ini seperti dari Vietnam, Nepal, Bangladesh, Indonesia dan Myanmar. Kira-kira 86% daripada penduduk India di negara ini tinggal di kawasan bandar.

Mereka bukan lagi setakat penoreh getah tetapi kebanyakannya bekerja sebagai pekerja kilang atau pemandu lori. Akibatnya bencana samsu ini juga wujud di kawasan bandar.

Anda boleh masuk ke mana-mana kedai atau pasar raya berhampiran rumah dan nampak semua jenis arak ini dijual secara bebas.

Baru-baru ini terdapat peningkatan kedai yang diberi lesen untuk menjual arak secara terbuka di hampir semua taman perumahan dan bandar. Ini sudah tentunya bukan sesuatu yang positif untuk kesejahteraan rakyat negara yang sedang membangun.