SPRM papar pengisyihatan harta anggota Kabinet 15 Okt

Senarai pengisytiharan harta anggota Kabinet akan dipapar di portal SPRM untuk tatapan umum.

KUALA LUMPUR: Senarai perisytiharan harta anggota Kabinet dan ahli parlimen yang sepatutnya dipaparkan di portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 1 Okt ini ditunda ke 15 Okt.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata penangguhan itu dibuat memandangkan semua anggota kabinet dan ahli parlimen belum genap 3 bulan tempoh perkhidmatan mereka.

“Sepatutnya 1 Okt ini tapi kita tangguhkan 2 minggu kepada 15 Okt untuk semua anggota kabinet dan parlimen untuk isytiharkan harta mereka.

“Senarai harta ini akan diserahkan kepada Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan pihak SPRM sebelum kita siarkan di Portal SPRM,” katanya kepada pemberita selepas majlis deklarasi dan menandatangani ikrar bebas rasuah ketua jabatan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), hari ini.

Menurutnya, setakat ini perisytiharan harta tidak melibatkan Adun dan kepimpinan di peringkat negeri.

Beliau berkata proses mengisi borang pengisytiharan harta itu mudah dan tidak mengambil masa yang panjang kerana hanya perlu mengisi beberapa butiran seperti harta kediaman, kenderaan dan beberapa lagi nilai harta yang dimiliki.

“Saya harap dalam masa 2 minggu ini, ia dapat dipercepatkan sebab borang itu adalah ringkas… kena la isytiharkan harta kerana sebelum ini dah janji dan janji itu perlulah dikotakan,” katanya.

Selepas 15 Okt, katanya, semua nama anggota kabinet dan ahli parlimen yang mengisytiharkan harta mereka dalam portal SPRM akan disiarkan untuk tatapan umum.

“Kita merayulah… kalau tidak isytiharkan harta selepas tarikh itu, kita boleh tahu siapa yang tidak isytiharkan harta mereka, walaupun tidak ada sebarang tindakan undang-undang yang boleh dikenakan,” katanya.

Menurutnya, setakat hari ini, anggota kabinet dan parlimen yang mengisytiharkan harta mereka terlalu sedikit jumlahnya.