SPRM saran hukuman sebat untuk perasuah

Shukri Abdull berkata, rasuah boleh menyebabkan jenayah lain berlaku seperti kemasukan PATI, kegiatan pelacuran dan perjudian.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan kerajaan meminda akta supaya perasuah dikenakan hukuman lebih berat seperti sebatan dalam usaha memerangi rasuah habis-habisan.

“Rasuah boleh membawa kepada jenayah lain seperti kedatangan PATI (pendatang asing tanpa izin), kegiatan judi dan pelacuran,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull selepas majlis deklarasi dan menandatangani ikrar bebas rasuah ketua jabatan Bernama, hari ini.

“Seperti di China, mereka melaksanakan hukuman menembak mati penjenayah yang mengamalkan rasuah.

“Namun, apa yang dicadangkan (hukuman mati) itu amat mustahil dilaksanakan. Ini kerana negara kita dalam usaha memansuhkan hukuman mati…(tetapi) kita boleh kenakan hukuman lain seperti sebatan.”

Sementara itu, Shukri berkata, SPRM merampas dan membekukan wang tunai berjumlah RM2.5 bilion sejak Jun lalu membabitkan pelbagai kesalahan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan siasatan ke atas kes 1MDB.

“Jumlah itu tidak termasuk pelbagai barangan atau hartanah disita SPRM yang belum dinilaikan,” katanya selepas ditemubual Bernama Radio hari ini.

Shukri berkata, kira-kira 100 daripada 336 individu yang ditahan atas pelbagai kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, turut dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, jumlah tangkapan, pendakwaan dan rampasan wang tunai itu membuktikan kes rasuah serta penyelewengan di negara ini cukup serius.