Sultanah Terengganu tetap saman Rewcastle-Brown selepas mohon maaf

Clare Rewcastle-Brown memohon maaf kepada Sultanah Terengganu semalam. (Gambar AFP)

PETALING JAYA: Sultanah Terengganu tetap memfailkan saman fitnah terhadap Clare Rewcastle-Brown, walaupun editor Sarawak Report itu sudah memohon maaf terhadap dakwaan mengaitkan Sultanah Nur Zahirah dengan skandal 1MDB dalam bukunya.

Peguam, Datuk Mohd Haaziq Pillay yang mewakili sultanah berkata, kenyataan Rewcastle-Brown semalam bukannya permohonan maaf.

“Kami akan menjelaskan lebih lanjut dalam sidang media esok,” katanya ketika dihubungi.

Buku Rewcastle-Brown yang dilancarkan 8 September lalu itu menceritakan siasatan ke atas skandal 1MDB.

Semalam, Sultanah Terengganu dilapor memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown yang mendakwanya rapat dengan Low Taek Jho, ahli perniagaan terbabit dalam skandal 1MDB dan diburu pihak berkuasa.

Susulan itu, Sarawak Report berkata, sultanah salah faham terhadap kandungan buku “The Sarawak Report: The Inside Story of the 1MDB Expose” dan percetakan semula buku itu sudah mengeluarkan nama sultanah.

Portal itu berkata, buku itu pada asalnya menyatakan Jho Low bangga dengan hubungan sosialnya dengan kerabat diraja, termasuk Sultanah Nur Zahirah yang membuka peluang untuknya dilantik penasihat Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA).

“Atas dasar ini, cetakan semula buku itu membuang nama sultanah, sebaliknya merujuk saudara perempuan sultan sebagai hubungan sosial utama Jho Low di Terengganu.”

Pada 14 September lalu, setiausaha Dewan Pangkuan Diraja Terengganu menafikan pembabitan Sultanah Nur Zahirah sama ada secara langsung atau tidak dalam sebarang urusan pentadbiran kerajaan dan penubuhan TIA yang menjadi pelopor 1MDB.

TIA ditubuhkan pada 2008 dan kemudiannya bertukar taraf kepada koperasi perbadanan yang diberi nama 1MDB pada Januari 2009.