Umno mesti lupakan nafsu meraih kuasa, kata Tok Mat

KUALA LUMPUR: Umno perlu melupakan nafsu untuk meraih kuasa dan bekerja keras dalam masa 10 tahun akan datang untuk menjadi gerakan “pencerahan” bangsa Melayu, kata Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan.

Berucap kepada lebih kurang 2,000 perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri, Mohamad berkata hanya sebagai gerakan reformasi dan dengan kerja keras Umno boleh meyakinkan bangsa Melayu bahawa ia layak memimpin mereka.

“Krisis paling besar kepada Umno bukanlah kehilangan kuasa. Menang kalah pilihan raya itu ada demokrasi. Tetapi, yang sangat mendukacitakan ialah Umno tewas kerana ia telah kehilangan kepercayaan orang Melayu.

“Kepada sesetengah orang Melayu, Umno telah hilang kompas moral dan nilainya,” kata Mohamad di Perhimpunan Agung Umno 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

3 fenomena

Timbalan presiden itu berkata Umno mesti faham 3 fenomena penting yang mendasari kekalahan Umno pada pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Mohamad berkata fenomena pertama adalah kesejagatan, dipacu kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi, melahirkan generasi rakyat yang bukan sekadar mengangguk dan mengiyakan; fenomena kedua adalah modenisasi, yang melahirkan generasi Melayu yang tidak mempunyai nilai dan hubungan sentimental dengan Umno.

“Ketiga, kegagalan Umno dan BN untuk berubah mengikut tuntutan zaman. Struktur, budaya, dasar dan pemikiran politik Umno dan BN adalah citra kurun ke-20, sedangkan Malaysia telah jauh berada dalam kurun ke-21,” katanya.

Beliau mengingatkan para perwakilan malam ini bahawa kegagalan Umno memimpin bangsa Melayu dengan kompas moral dan nilai akhirnya mendatangkan impak sangat luar biasa kepada kedudukan orang Melayu.

“Yang terhambat, adalah bangsa Melayu. Bangsa Melayu, pada pandangan jujur saya, sedang berhadapan dengan apa yang saya panggil zaman kesusutan atau ‘the age of decline’,” katanya.

Dekad pencerahan

Demikian itu, Mohamad menggesa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno untuk menumpukan seluruh kudratnya untuk menjadi gerakan kebangkitan dan pencerahan bangsa Melayu.

“Umno mesti membangunkan ‘Dekad Pencerahan’ untuk bangsa Melayu, atau apa yang saya panggil ‘The New Malay Renaissance’,” katanya.

Mohamad berkata Umno tidak boleh berlengah dan memberi pelbagai alasan kerana sehingga hari ini ia gagal melakar hala tuju dan perjalanan masa depan Umno kepada orang Melayu.

Belau berkata segala teguran, kritikan dan hukuman orang Melayu kepada Umno harus menyedarkan parti itu bahawa parti Melayu memerlukan pengislahan yang sebenar-benarnya.

“Bukan pada struktur. Bukan hanya sekadar melaksanakan pemilihan dan mempunyai kepimpinan baharu. Bukan sekadar menukar nama atau slogan. Semua itu kosmetik. Semua itu hanya ranting-ranting kecil sahaja.

“Sebaliknya, Umno mesti dibangunkan semula dengan nilai, dengan moral, dengan ideologi yang paling tuntas,” katanya.

Ideologi paling tuntas

Untuk itu, Mohamad menyeru Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bersama melakar jalan ke depan untuk Umno dengan menggubal “Pelan Umno 2030”.

Timbalan presiden itu berkata pelan mesti menjelaskan dengan terperinci bagaimana Umno akan ditransformasikan sebagai pelopor perubahan, menjadi pengawal keutuhan Islam, bangsa Melayu, bahasa dan institusi raja-raja.

“Dalam masa yang sama, Umno juga akan menjadi pembela kepada kemajmukan pelbagai kaum, bahasa dan budaya di Malaysia ini, dan menjadi katalis dan penggerak kemajuan umat.

“Kita mesti jelas. Membangunkan semula Umno tidak sesekali bererti hanya mengambil alih kuasa sahaja,” katanya.