Zuraida jamin harga rumah turun selepas SST

Zuraida Kamaruddin ketika merasmikan pameran hartanah 2018 di Petaling Jaya.

PETALING JAYA: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberi jaminan harga rumah akan turun selepas kerajaan melaksanakan sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bulan ini.

Beliau berkata ketetapan kerajaan untuk mengecualikan SST terhadap perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan akan memberi kesan terhadap harga rumah selepas ini.

“Sebahagian bahan binaan untuk membuat rumah dikecualikan SST, jadi secara automatiknya saya percaya harga rumah memang akan turun.

“Kalau pemaju hartanah tidak ikut, jadi kita tidak perlu beli rumah itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pameran hartanah 2018 di sebuah pusat membeli-belah, hari ini.

Zuraida bagaimanapun belum dapat memastikan kadar peratusan harga rumah yang akan turun meskipun sudah sebulan SST dilaksanakan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini berkata kerajaan mungkin menimbang semula SST ke atas bahan binaan dan perkhidmatan jika pemaju gagal mengurangkan harga rumah.

Beliau berkata kerajaan mengambil langkah positif dengan memberikan pengecualian, dan kini menunggu penggiat hartanah untuk mengurangkan harga rumah.