Ahli Umno sambut pemimpin PAS dengan laungan takbir

Tuan Ibrahim Tuan Man (kiri, baju Melayu hijau muda) mengetuai rombongan PAS menghadiri Perhimpunan Agung Umno ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam ini.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengetuai rombongan parti Islam itu menghadiri Perhimpunan Agung Umno ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, Naib Presidennya, Idris Ahmad dan Datuk Iskandar Abdul Samad, Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Kehadiran mereka disambut ahli dan pemimpin Umno dengan tepukan gemuruh serta laungan “takbir”. Ia sebagai membalas keterbukaan pemimpin Umno menghadiri Muktamar PAS di Terengganu, 2 minggu lalu.

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menghadiri perasmian Muktamar PAS ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, pada 15 September lalu.

Hadir sama Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Penerangan, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Wanita, Datuk Noraini Ahmad.

Perhimpunan Agung Umno tahun ini berlangsung selama 3 hari, bermula semalam.