Azalina pantang lihat muka menteri pendidikan, terbayang nasib pelajar ditipu PH

Azalina Othman Said mendakwa pelajar universiti tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran kerana pemimpin PH sering membangkitkan isu hutang PTPTN.

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said mendakwa ada segelintir pelajar terpaksa berhenti melanjutkan pelajaran kerana tidak mampu menampung kos pengajian.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Menteri Pendidikan, Maszlee Malik tidak mengotakan janji berkaitan kebajikan pelajar dan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Katanya, setiap kali ternampak wajah Maszlee, beliau akan terbayangkan nasib pelajar ditipu kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Ada satu menteri ni saya tak boleh tengok muka dia. Tak boleh, pantang betul saya.

“Nak tahu ke? Nak saya cerita? Nak? Yelah, saya cerita, Menteri Pendidikan Maszlee. Saya tak boleh betul tengok muka dia,” katanya ketika berucap pada persidangan Puteri Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Turut hadir Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam dan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Azalina turut mendakwa pelajar universiti tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran kerana pemimpin PH sering membangkitkan isu hutang PTPTN.

“Budak-budak nak belajar pun susah, menteri asyik kata kena bayar hutang, tak boleh tak bayar. Dah tu, yang kau cakap hari tu apa?” soalnya.

Pada 20 September lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas pelajar gagal membayar hutang PTPTN sebagai tidak amanah, tidak bertanggungjawab dan tiada perasaan malu.

Perdana menteri berkata, kebanyakan peminjam mempunyai pekerjaan dan pendapatan sendiri, tetapi sengaja tidak membayar pinjaman pendidikan menyebabkan tunggakan hutang PTPTN mencecah RM36 bilion.

PH dalam manifesto pilihan raya umum lalu berjanji membenarkan graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN.

Tiga hari kemudian, Maszlee dilaporkan berkata, setiap peminjam perlu melunaskan hutang PTPTN tidak kira apa yang dijanjikan dalam manifesto PH.

“Apa pun manifesto kata, tetapi kalau sudah pinjam kenalah bayar hutang itu. Kalau sudah pinjam kenalah berusaha untuk membayar pinjaman itu.

“Pembangkang semua nak politikkan isu, tetapi ini soal akhlak dan moral. Apabila pinjam duit, kenalah bayar. Bayarlah walau dengan hanya RM10 sebulan.”