Dana masih dibekukan, pemimpin Pemuda gesa Umno jual aset

Shahril Hamdan berkata, dana Umno masih dibekukan pihak berkuasa, susulan siasatan ke atas skandal 1MDB.

KUALA LUMPUR: Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan menggesa pucuk pimpinan mempertimbangkan cadangan menjual aset parti untuk mendapatkan wang bagi membiayai operasi harian cawangannya di seluruh negara.

Katanya, hasil daripada penjualan aset itu dapat membantu parti kerana dananya masih dibekukan pihak berkuasa, susulan siasatan ke atas skandal 1MDB.

“Akaun kita dibekukan, tetapi aset kita berjuta-juta.

“Kenapa tidak jual aset itu dan beri wang itu kepada cawangan Umno sekurang-kurangnya untuk membiayai kos asas mereka?” katanya dalam persidangan Pemuda Umno sempena Perhimpunan Agung Umno ke-72 hari ini.

Pada 29 Jun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor membekukan 900 akaun bank yang mempunyai kaitan dengan siasatan skandal 1MDB.

Pada 2 Julai lalu, Pasukan Petugas 1MDB dilapor membekukan 408 akaun bank membabitkan dana RM1.1 bilion dalan akaun milik individu, parti politik serta NGO pada 26 serta 29 Jun lalu.

“Ia melibatkan hampir 900 transaksi yang dibuat antara Mac 2011 dan September 2015,” katanya sambil menambah akaun yang dibekukan itu membabitkan 81 individu dan 55 syarikat yang dipercayai pernah menerima dana daripada 1MDB.