
NEW YORK: Beberapa jam selepas menyampaikan ucapan pada Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke-73, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beliau merancang memalukan “5 negara kuasa besar” dalam PBB agar menyerahkan kuasa veto mereka.
“Lima kuasa besar” itu merujuk negara anggota tetap dalam Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai kuasa veto, iaitu Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis, Rusia dan China.
Selepas kembali semula di PBB setelah 15 tahun, beliau kecewa dengan PBB yang gagal membawa reformasi terhadap sistem veto itu.
“Saya berharap dapat memalukan mereka sehingga melepaskan kuasa veto mereka. Masyarakat hendaklah memberitahu mereka, ia amat tidak demokratik,” katanya kepada media Malaysia di sini, semalam.
Perdana menteri berkata, kuasa besar di PBB tidak layak bercakap mengenai perubahan rejim di negara lain “jika anda sendiri tidak boleh berikan kami sedikit demokrasi dalam sebuah badan antarabangsa”.
“Ia suatu yang tidak elok, ia hipokrit. Di satu pihak anda kata mereka semua mesti demokratik dan anda menyebabkan perubahan rejim, begitu banyak peperangan sivil untuk mempertahankan demokrasi.
“Tetapi di sini, apa yang perlu anda lakukan hanyalah serahkan kuasa veto anda, tetapi tidak gembira melakukannya.”
Dr Mahathir mencadangkan veto itu bukan setakat satu anggota tetap, tetapi sekurang-kurangnya 2 dan disokong 3 anggota tidak tetap Majlis Keselamatan dan perhimpunan agung itu pula menyokong keputusan itu dengan majoriti mudah.
Sebelum ini, Dr Mahathir membuat gesaan seumpama apabila beliau menghadiri Perhimpunan Agung PBB pada 2003.
Hari ini, beliau mengakui situasi dunia semakin teruk.
“Banyak perkara menjadi semakin teruk. Pada 2003, tidak ada peperangan di Timur Tengah, meskipun hanya ada perang Iraq, tetapi tidak merebak luas.
“Kini, kita menyaksikan perang di Yaman, Syria dan keseluruhan masalah mengenai rakyat Palestin dinafikan hak di negara mereka sendiri masih berlaku, dan ia agak buruk.
“Dunia nampaknya tidak mempunyai sebarang arah tuju sebenar. Pada mulanya, mereka membentuk PBB untuk mengawal peperangan. Namun, Eropah dan Amerika Utara nampak seperti mengelakkan peperangan serius di Asia Tengah, jadi saya tidak berpendapat kita telah belajar untuk hidup bersama.”
Dr Mahathir bingung negara itu kelihatan tidak lagi mahu bekerjasama.
“Mereka sebelum ini mahu bersatu padu dan bekerjasama, tetapi sekarang ini berpecah belah.
“Kesatuan-kesatuan serantau kini amat lemah. Nafta (Kawasan Perdagangan Bebas Amerika Utara) tidak lagi berfungsi. Kesatuan Eropah (EU) berpecah dengan Britain bertindak keluar. Malahan, dalam kalangan anggota yang selebihnya dalam EU kelihatan tidak ada kesepakatan dalam idea dan tindakan.
Mengenai dasar luar Malaysia baru di bawah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, katanya: “Dasar luar Malaysia mudah.
“Kami mahu berbaik dengan semua, tetapi mengekalkan hak kami untuk menyuarakan pandangan kami. Jadi, ada sesetengah perkara saya katakan mungkin diterima baik, tetapi saya perlu katakannya dengan jelas itulah pendirian Malaysia.
“Saya berharap saya tidak memalukan sesiapa, tidak jika anda perlu bercakap benar, anda perlu bercakap perkara yang mungkin tidak sedap didengar sesetengah pemimpin, tetapi jika saya perlu katakannya, saya akan katakannya.”
Beliau membayangkan Malaysia akan mencontohi perlembagaan Jepun yang menghalang mereka terlibat dalam peperangan.
Katanya, pindaan terhadap perlembagaan itu akan dibuat bagi menghalang tentera dihantar ke kawasan konflik.
“Jepun adalah satu-satunya negara yang tidak mahu terlibat dalam peperangan agresif. Jepun perlu pertahankan diri, jadi tenteranya dikenali sebagai pasukan pertahanan.
“Kami bercadang mengikuti perlembagaan terkini Jepun bagi mengelakkan kami pergi berperang.”
Lawatan kerja 5 hari Dr Mahathir ke New York berakhir hari ini.
Beliau dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dijadualkan berlepas ke London untuk meneruskan siri ke-2 lawatan kerjanya dari 29 September hingga 1 Oktober, sebelum pulang ke tanah air.
Dr Mahathir melawat Britain dari 21 hingga 25 September lalu dalam sesi lawatan pertamanya.