Hikmah Umno-BN kalah, PAS boleh hadir ke perhimpunan Umno, kata Muslimat PAS

Nuridah menegaskan kehadiran PAS ke perhimpunan Umno adalah atas dasar permuafakatan sebagai pembangkang.(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan antara hikhmah kekalahan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum lepas ialah memungkinkan parti Islam itu menjejak kaki ke Persidangan Agung Umno 2018 hari ini.

Ketua Dewan Muslimat PAS, Dr Nuridah Mohd Salleh berkata, ini merupakan kali pertama Muslimat PAS menghadiri persidangan tersebut dan mereka mengucapkan terima kasih kepada Ketua Wanita Umno, Datuk Noraini Ahmad dan ahli jawatankuasanya atas jemputan yang dibuat.

“Mungkin ini antara hikmah daripada kekalahan Umno-BN selepas sekian lama memimpin negara. Mudah-mudahan kepentingan agama dan rakyat Malaysia benar-benar menjadi kenyataan,” kata Nuridahkepada media ketika menghadiri persidangan sayap Wanita Umno di Perhimpunan Agung 2018, di, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Nuridah turut menegaskan kehadiran PAS ke perhimpunan Umno adalah atas dasar permuafakatan sebagai rakan pembangkang.

“Kerjasama Umno-PAS ini kita kata baru permuafakatan pembangkang, baru setakat itu sajalah, tidak ada lebih lanjut lagi.

“Bagi kita apa sahaja yang baik untuk kepentingan agama dan rakyat Malaysia, kita akan bersama-sama seperti apa yang dinyatakan dalam perlembagaan PAS sebenarnya,” katanya ketika ditanya tentang kemungkinan PAS bergabung dengan Umno.

Terdahulu, Nuridah mengetui rombongan Muslimat dan Muhammad Khalil Abdul Hadi mewakili Pemuda PAS hadir pada persidangan sayap Umno sempena Perhimpunan Agung 2018, di, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Nuridah dan Khalil sarta rombongan tiba kira-kita jam 8:15 pagi disambut pemimpin Umno sebagai membalas budi keterbukaan pemimpin Umno menghadiri Muktamar PAS di Terengganu pertengahan bulan lalu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dijangka akan menghadiri Persidangan Agung Umno mewakili Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Pada 15 September lalu Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengetuai rombongan pemimpin tertinggi parti itu hadir ke majlis perasmian Muktamar PAS Pusat kali ke-64 bertempat di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus.