Isa dakwa pemimpin Umno setuju beliau tanding di PD

Isa Samad berkata, beliau ialah anak tempatan dan tahu masalah dihadapi penduduk setempat, termasuk perumahan untuk golongan muda, infrastruktur dan isu banjir. (Gambar Bernama)

PORT DICKSON: Calon bebas, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mendakwa pemimpin Umno Bahagian Teluk Kemang turut bersetuju beliau patut bertanding di Port Dickson.

“Adalah pandangan pemimpin-pemimpin Umno Teluk Kemang kerana sebelum ini pun Umno berhasrat untuk saya tanding, tapi rezeki itu tak ada, termasuklah pilihan raya lalu.

“Oleh kerana pilihan raya ini ada peluang yang terbuka kerana ada orang yang meletak jawatan, jadi saya masuk,” katanya selepas pengumuman calon PRK Port Dickson di luar dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, hari ini.

Selain Isa, 4 calon bebas lain – Mohd Saiful Bukhari Azlan, Lau Seck Yan, Chan Keng Leong dan Kan Chee Yuen akan bersaing dengan calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar pada 13 Oktober ini.

Penyandang, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.

Semalam, Isa dilaporkan berkata, beliau meninggalkan Umno kerana mahu bertanding sebagai calon bebas di Port Dickson.

Hari ini, Isa optimis mempunyai peluang seimbang untuk menang seperti calon lain kerana sebagai orang lama di Port Dickson, beliau mempunyai ramai penyokong.

“Walaupun saya sudah keluar Umno, tapi mereka sokong saya dan yang bukan Umno juga sokong saya. Saya bertanding kerana mahu membela nasib rakyat dan seterusnya membawa pembangunan di Port Dickson.”

Ahli politik veteran berusia 69 tahun itu yang pernah menjadi menteri besar Negeri Sembilan selama 22 tahun berkata, ini adalah kali pertama beliau berpeluang bertanding di tempat sendiri.

“Sebagai orang Port Dickson, memang saya nak tanding sini dari dulu pun tak berpeluang.

“Inilah peluang pertama saya dapat bertanding di Parlimen Port Dickson.”

Sebagai anak tempatan, katanya, beliau tahu masalah dihadapi penduduk setempat, termasuk perumahan untuk golongan muda, infrastruktur dan isu banjir.

“Ini isu lama dan bukan senang (ditangani) kerana Port Dickson di tepi laut.”