Jadilah pembimbing, bukan pembodek, pemimpin nasihat Wanita Umno

Md Alwi Che Ahmad berkata, Umno akan pupus tanpa sayap Wanita yang menjadi tulang belakang parti.

KUALA LUMPUR: Wanita Umno diingatkan memainkan peranan untuk memulihkan parti, bukannya menjadi pembodek, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Md Alwi Che Ahmad.

Ketua penerangan Umno Kelantan itu bagaimanapun tidak menamakan pemimpin Wanita Umno yang menjadi kaki bodek itu.

“Balik bimbinglah Umno, jangan jadi ketua Wanita yang takut, jangan jadi ketua Wanita yang bodek, jangan jadi ketua Wanita yang taat membabi buta. Membuta tuli tak apa lagi, (tetapi bukannya) membabi buta.

“Jadilah ibu yang memandu bahagian itu supaya anak-anak yang dididik ibu Wanita Umno menjadi anak-anak yang akan mempertahankan agama dan bangsa,” katanya berucap dalam persidangan Wanita Umno hari ini.

Terdahulu, Alwi berkata, Umno akan pupus tanpa sayap Wanita yang menjadi tulang belakang parti.

“Umno ini sebenarnya kalau tak ada Wanita boleh dikatakan Umno akan pupus, itu hakikat yang kita hadapi.

“Sebab itu daripada sayap, ia menjadi tulang belakang dan mungkin selepas ini bukan jadi tulang belakang, tetapi badan kepada Umno itu sendiri.”

Adun Kok Lanas itu turut menggesa ahli Umno terus setia bersama parti yang menghadapi pelbagai cabaran selepas kekalahan mengejut pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Usah meratapi kekalahan, kembali ke pangkalan. Ibu-ibu sekalian jaga anak-anak bersama masyarakat, biar mereka bersama kita, kekuatan kita ada pada wanita.

“Wanita boleh membantu kekuatan ini, wanitalah tempat kita bergantung, sekarang orang zalimi kita, orang hina Melayu.”

Ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan itu berkata, kekuatan lelaki tidak akan sempurna tanpa sokongan wanita.

“Kekuatan lelaki lebih kuat daripada perempuan, tetapi kekuatan lelaki itu tidak akan sempurna kalau tidak ada seorang wanita.”

Sebelum meninggalkan pentas, beliau mengakhiri ucapannya dengan bacaan doa.