Laungan penyokong sambut Najib ke Perhimpunan Agung Umno

Najib Razak bersalaman dengan penyokong, setibanya di Pusat Dagangan Dunia Putra.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak tiba di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini untuk menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno ke-72, selepas beliau melepaskan jawatan tertinggi dalam parti itu Mei lalu.

Ahli biasa Umno itu tiba kira-kira 8.05 malam dengan disambut penyokong yang melaungkan “Hidup Najib” dan ahli parti yang mahu bersalaman dengannya.

Turut hadir bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan bekas ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucapan dasar pertamanya sebagai presiden Umno sebentar lagi.

Najib melepaskan jawatan presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional pada 12 Mei lalu, selepas BN hilang kuasa mentadbir negara dalam pilihan raya umum ke-14.

Beliau kini berdepan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.282 bilion melibatkan dana 1MDB yang dimasukkan ke akaun peribadinya.