PAU 2018: Pemuda Umno gesa pemimpin terlibat skandal undur cara terhormat

KUALA LUMPUR: Pemimpin Umno yang terpalit dengan sebarang skandal rasuah perlu berundur secara terhormat, kata Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini.

Asyraf membuat ingatan itu supaya pemimpin terlibat tidak menjadikan parti sebagai perisai untuk melindungi diri.

“Buat pemimpin Umno di semua peringkat, Pemuda hari ini ingin berpesan, sesiapa saja yang merasakan dirinya terpalit dengan apa jua bentuk penyimpangan, undurlah secara terhormat.

“Jangan sesekali menjadikan parti sebagai perisai kepada segala kedurjanaan diri, janganlah mengheret parti bersama-sama dengan kecurangan peribadi,” katanya dalam ucapan dasar di persidangan perwakilan Pergerakan Pemuda Umno di PWTC hari ini.

Pemuda Umno katanya, turut mendesak pucuk pimpinan mengambil tindakan tegas terhadap bekas pemimpin dan wakil rakyat yang meninggalkan parti.

Kata beliau, tindakan itu termasuklah tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanding atas nama parti sebelum ini.

“Pemuda Umno dengan ini mendesak pucuk pimpinan mengambil tindakan tegas perhadap petualang berkenaan.

“Ini termasuklah tindakan undang-undang terhadap mereka yang bertanding atas nama parti, memanfaatkan jentera parti dan menggunakan wang parti sebelum ini, tetapi akhirnya sanggup curang kepada akar umbi,” katanya.

Asyraf berkata, sekarang merupakan waktu terbaik untuk melihat pemimpin yang benar-benar setia kepada perjuangan Umno.

“Setia kepada perjuangan bukan hanya pada waktu berkuasa atau pada saat dilimpahi kesenangan. Tetapi setia yang sejati adalah pada saat Umno sedang diuji dengan pelbagai mehnah dan dugaan.

“Bukan seperti segelintir pimpinan yang meninggalkan kita pada kala Umno dilanda badai. Kononnya lompat kerana prinsip perjuangan, kalau tiada angin masakan pokok boleh bergoyang,kami tahu sebab-sebabnya,” katanya.

Pemuda Umno “boo” MCA, puji PAS

Terdahulu, persidangan Pemuda gamat seketika apabila perwakilan pergerakan itu menyorak pemimpin MCA kerana tidak hadir ke persidangan kali ini.

Sorakan itu bergema ketika Asyraf menjelaskan bahawa Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon meminta maaf kerana tidak dapat menghadiri acara itu kali ini.

Bagaimanapun dewan gemuruh dengan tepukan, apabila ketua Pemuda Umno itu mengucapkan terima kasih kepada rombongan Pemuda PAS yang diketuai Muhamad Khalil Abdul Hadi hadir sebagai tetamu pada majlis yang sama.