PAU 2018: Pertama kali bendera Umno berkibar sebagai pembangkang

Walaupun hadir sebagai pembangkang, barisan kepimpinan Umno kehihatan bersemangat menyanyikan lagu Keramat Umno sebaik sahaja bendera dikibarkan.

KUALA LUMPUR: Persidangan Agung Umno kali ke-72 menyaksikan bendera Sang Saka Bangsa dikibarkan buat pertama kali sebagai parti pembangkang.

Upcara menaikkan bendera itu dilakukan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di perkarangan bagunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Walaupun hadir sebagai pembangkang, barisan pimpinan Umno kehihatan bersemangat menyanyikan lagu Keramat Umno sebaik sahaja bendera dikibarkan.

Hampir semua ahli Majlis Tertinggi Umno, Pergerakan Pemuda, sayap Wanita dan Puterinya hadir, manakala mereka yang tidak mempunyai jawatan dalam parti antaranya bekas presiden Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak kelihatan.

Walaupun Umno tidak lagi berada di Putrajaya berikutan kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas, parti itu mempunyai kerusi paling banyak berbanding parti-parti lain, termasuk dari Pakatan Harapan (PH).

Tinjauan FMT di sekitar PWTC mendapati keadaannya berbeza daripada tahun-tahun sebelum ini.

Paling jelas, tidak ada lagi pameran oleh agensi kerajaan, begitu juga dengan gerai jualan mega yang kelihatan seakan-akan sepi.

Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan membahaskan ucapan perasmian Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini, sementara Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan menyampaikan ucapan dasar beliau malam ini, diikuti perbahasan pada hari berikutnya.

Persidangan Agong Umno kali ini yang bermula hari ini akan berakhir esok merupakan persidangan pertama parti itu selepas pilihan raya Mei lepas dan dilihat akan menentukan hala tuju parti itu sebagai pembangkang.