PAU 2018: Puteri Umno anggap ahli jual kedudukan kepada musuh ‘pelacur politik’

Zahida berkata mereka yang berpaling tadah dari Umno hanya berpolitik untuk kepentingan peribadi semata-mata. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:Pergerakan Puteri Umno hari ini menggelar ahli dan pemimpin yang bertindak menjual kedudukan mereka kepada musuh politik parti itu sebagai “pelacur politik” yang tidak bermaruah.

Ketua Puteri, Datuk Zahida Zarik Khan menegaskan perkara itu sekali gus mengingatkan ahli bahawa pejuang sebenar adalah mereka kekal setia kepada parti baik ketika menang atau pun kalah.

Beliau juga berkata mereka yang berpaling tadah dari Umno hanya berpolitik untuk kepentingan peribadi semata-mata.

“Saya percaya, yang ada di dalam dewan ini adalah antara pejuang hakiki dan anak-anak muda yang masih yakin dan menyokong perjuangan parti keramat ini.

“Adakalanya kita menang. Ada ketikanya kita kalah. Ini lumrah dalam perjuangan dan roda kehidupan, yang kita perlu terima untuk menjadi pejuang sejati,” katanya dalam ucapan dasar persidangan Puteri Umno, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Zahida berkata, perwakilan yang hadir ke persidangan kali ini komited dan sayangkan parti dan bukannya bersama Umno hanya apabila parti berkuasa.

Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan membahaskan ucapan perasmian Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini, sementara Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menyampaikan ucapan beliau malam ini, yang akan dibahaskan esok.

Perhimpunan Umno kali ini merupakan persidangan perwakilan pertama parti itu selepas kalah dalam pilihan raya umum Mei lepas dan dijangka penting dalam menentukan hala tuju parti Melayu tersebut.