PAU 2018: Umno tidak lagi mampu tampung perpecahan, kata Noraini

Noraini berkata, Umno menghadapi tekanan bertali arus selepas gagal mengekalkan mandat sebagai parti peneraju negara. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Wanita Umno digesa untuk terus bersatu antara satu sama lain kerana parti itu dilihat tidak lagi mampu menampung perpecahan dalam parti sejak kekalahan dalam pilihan raya umum ke-14 Mei lepas.

Ketuanya Datuk Noraini Ahmad berkata, Umno menghadapi tekanan bertali arus selepas gagal mengekalkan mandat sebagai parti peneraju negara.

“Parti ini sudah tidak mampu lagi untuk menampung perpecahan selepas kekalahan dalam pilihan raya.

“Ramai ahli dan pemimpin parti yang diaibkan dan berdepan dengan pelbagai tekanan. Kita ada pilihan sama ada untuk terus berduka cita atau redha dan bangkit sebagai wanita yang tidak goyah,” katanya sewaktu memberi ucapan di Perhimpunan Agung Umno ke-72 di sini hari ini.

Sebelum ini, Noraini diumumkan pemenang dalam persaingan merebut jawatan ketua Wanita menewaskan 2 pencabar lain, termasuk pesaing terdekat Datuk Azizah Mohd Dun. Beliau kini digandingkan dengan Naib Ketua Norliza Abdul Rahim.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi mencapai kestabilan dalam parti, kerjasama Umno dan PAS adalah sesuatu yang wajar dilakukan.

“Kerjasama Umno dan PAS wajar dikihat sebagai satu landasan yang menyatukan umat Islam dan Melayu negara ini.

“Sekali gus gandingan ini itu berperanan sebagai suara ‘check and ‘balance’ dalam blok pembangkang negara,” katanya.

Noraini berkata, ia memenag sesuatu yang sukar dan merupakan cabaran untuk direalisasikan, tetapi kerjasama itu diharapkan dapat memberi kesepakatan kepada 2parti terbesar orang Melayu di negara ini.