Pemilihan PKR: Abdullah Sani yakin kem Rafizi boleh menang

Pemilihan parti itu di Pulau Pinang menyaksikan Azmin mendapat kelebihan setelah meraih 3,326 undi berbanding 3,150 undi diterima Rafizi. (Gambar Bernama)

KLANG: Ahli Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata pasukan “Reformasi 20 Tahun” yakin boleh memenangi pemilihan PKR kali ini walaupun keputusan pengundian di Pulau Pinang minggu lepas menunjukkan sebaliknya.

Beliau berkata, ini disebabkan “gelanggang” pemilihan parti masih lagi dibuka dan keputusan minggu lalu hanya membabitkan sebuah negeri.

“Dalam keadaan lain, kita baru satu negeri, gelanggang masih dibuka, visi masih diperhatikan oleh ahli,” katanya kepada FMT semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pemilihan parti itu di Pulau Pinang pada 22 Sept lalu yang menyaksikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendapat kelebihan setelah meraih 3,326 undi berbanding 3,150 undi diterima Naib Presiden PKR Rafizi Ramli dalam persaingan merebut jawatan timbalan presiden parti itu.

Untuk jawatan naib presiden, Nurul Izzah Anwar yang dilihat sebagai calon daripada kem Rafizi mendapat undi tertinggi sebanyak 4,039 undi.

Manakala 3 calon yang mendapat undi paling banyak selepas itu adalah daripada kem Azmin iaitu Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin (2,646 undi), bekas Ahli Parlimen Batu Tian Chua (2,577 undi) dan Ahli Parlimen Kuala Langat Xavier Jeyakumar (2,316 undi).

Mengulas lanjut Abdullah berkata, pihaknya juga “tidak kisah” dan akan akur dengan keputusan dibuat kepimpinan pusat dengan hanya menerima keputusan pemilihan bagi Pulau Pinang.

“Kalau dia nak buat kiraan semula kita terima, kalau nak menerima (keputusan) itu pun kita terima.

“Saya pun, kalau ikutkan saya duduk kumpulan bawah, nombor 21..saya pun rasa tak selesa,” katanya yang bertanding untuk kerusi Majlis Pimpinan Pusat.

Abdullah bagaimanapun bersyukur dengan sokongan yang diberikan oleh ahli di Pulau Pinang kepadanya.

Pada 23 September, setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Ismail Yusop berkata, proses pengundian bagi pemilihan di 4 negeri iaitu Perlis, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka ditangguh ke suatu tarikh yang akan ditentukan kemudian berikutan beberapa masalah yang dihadapi ketika proses pengundian yang berlangsung di Pulau Pinang dan Kedah sebelum ini.

Ekoran masalah itu proses pemilihan di Kedah dibatalkan dan akan diadakan semula pada satu tarikh yang belum ditetapkan.