Pemimpin sayap Umno sokong pencerahan bangsa Melayu

KUALA LUMPUR: Pemimpin sayap Umno yang ditemui FMT di persidangan malam tadi menyahut seruan timbalan presiden yang mahu mereka melupakan nafsu meraih kuasa dan menumpukan kudrat menjadi gerakan pencerahan bangsa Melayu.

Datuk Mohamad Hasan dalam ucapan kepada lebih kurang 2,000 perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri berkata hanya sebagai gerakan reformasi dan dengan kerja keras Umno boleh meyakinkan bangsa Melayu bahawa ia layak memimpin mereka.

Naib Ketua Pemuda Shahril Hamdan berkata Mohamad malam tadi menyampaikan ucapan “yang berani walaupun agak bahaya”.

“Tetapi itu kenyataan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata mesej ucapan malam tadi adalah pemimpin Umno jangan tertumpu kepada keuntungan jangka masa pendek, kena berubah dan kena disuaikan dengan trend masa kini.

Shahril berkata pencerahan bangsa Melayu perlu digerakkan demi kepentingan masyarakat itu sendiri.

“Ini cabaran orang Melayu dalam keadaan globalisasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Puteri Kelantan Nurul Najihah Yasim percaya formula yang diajukan dalam ucapan Mohamad malam tadi adalah yang terbaik buat masa ini.

“Kekalahan kita hadapi amat besar. Perlu berubah,” katanya.

“Bukan sekadar laungkan hidup Melayu tetapi gerakan untuk dapatkan sokongan orang Melayu. Sekadar cakap di media sosial tak guna.”