Pengerusi SPR: Azhar hadapi ujian pertama di Port Dickson

Azhar bekata adalah penting untuk memastikan PRK Port Dickson berjalan dengan lancar, bersih dan adil kerana personaliti yang bertanding dan mendapat perhatian dunia.

PUTRAJAYA: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baharu, Azhar Azizan Harun, yang memulakan tugasnya semalam, bakal berdepan jadual kerja yang padat namun berikrar untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.

Beliau berkata pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang akan diadakan pada 13 Okt ini manakala hari penamaan calon pada hari ini adalah ujian pertamanya.

“Saya melaporkan diri di SPR pada masa yang penuh dengan aktiviti dan cabaran. PRK Port Dickson mendapat perhatian seluruh negara dan dunia kerana melibatkan personaliti yang bakal bertanding.

“Adalah penting untuk memastikan PRK Port Dickson berjalan dengan lancar, bersih dan adil,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPR di sini.

Beliau tiba di ibu pejabat SPR pada 9.00 pagi untuk memulakan tugas dan disambut Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood, Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Ellias Abu Bakar dan anggota SPR.

Selain PRK Port Dickson, Azhar yang juga seorang peguam, berkata beliau akan berjumpa dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dalam masa terdekat berhubung usaha penambahbaikan pilihan raya di negara ini.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar mengumumkan pelantikan Azhar sebagai pengerusi SPR baru bagi menggantikan Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang memendekkan tempoh perkhidmatannya berkuat kuasa 1 Julai lepas.

Pelantikan Azhar diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal (1) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan dan pelantikan sebagai Pengerusi SPR itu dibuat selaras dengan Fasal (3) Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.