Pertandingan 7 penjuru di PRK Port Dickson

Anwar di pusat penamaan calon PRK Port Dickson.

PORT DICKSON: Pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson yang dijadualkan pada 13 Okt depan bakal menyaksikan pertandingan 7 penjuru selepas selesai proses penamaan calon hari ini.

Pegawai Pengurus pilihan raya Khairy Maamor berkata, pihaknya menerima 8 kertas penamaan calon bagi PRK Parlimen Port Dickson, dengan satu kertas penamaan milik A Ranjendra ditolak.

Tujuh calon yang akan bertanding membabitkan Presiden PKR dipilih Datuk Seri Anwar Ibrahim; calon PAS Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar; bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (Bebas); Mohd Saiful Bukhari Azlan (Bebas); Lau Seck Yan (Bebas); Chan Keng Leong (Bebas); dan Kan Chee Yuen (Bebas)

PRK Port Dickson akan diadakan 13 Oktober ini susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Parlimen.

Danyal, bekas pegawai tentera laut, memenangi kerusi tersebut dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu setelah mendapat 36,255 undi mengalahkan calon BN Datuk V S Morgan yang memperoleh 18,515 undi dan calon PAS Mahfuz Roslan (6,594).