Umno saman wakil rakyat keluar parti

Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua wakil rakyat Umno perlu menandatangani akujanji untuk mengelakkan mereka melompat parti.

KUALA LUMPUR: Umno bertindak menyaman wakil rakyatnya yang meninggalkan parti itu dengan menuntut mereka mengosongkan kerusi dan membayar kos berkempen sepanjang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, individu terbabit tiada asas moral untuk menjadi wakil rakyat kerana kerusi itu dimenangi atas tiket Umno dan Barisan Nasional.

“Mutakhir ini, terdapat wakil rakyat Umno keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas. Saya akui amat sukar untuk menyekat mereka keluar parti,” katanya dalam ucapan dasar presiden sempena perasmian Perhimpunan Agung ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra malam ini.

“Tetapi, demi menghormati kehendak ahli-ahli parti yang telah dikhianati, kita telah mengambil langkah drastik melalui tindakan undang-undang.

“Saya ingin menyatakan writ saman telahpun dihantar kepada beberapa individu terbabit. Kita menuntut bayaran balik yang melibatkan kos dan mereka juga perlu mengosongkan semula kerusi yang dimenangi atas tiket Umno dan BN.”

Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed meninggalkan Umno pada 18 September lalu, selepas lebih 40 tahun bersama parti itu dengan alasan hala tuju Umno tidak lagi selari dengan perjuangannya.

Keesokannya, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman turut keluar parti menyebabkan Umno kini hanya mempunyai 49 kerusi Parlimen.

Selain Mustapa dan Anifah, 3 lagi ahli Parlimen Umno yang keluar parti selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Noor Azmi Ghazali.

Akujanji untuk wakil rakyat

Zahid berkata, semua wakil rakyat Umno wajib menandatangani akujanji untuk mengelakkan mereka keluar parti selepas memenangi kerusi dalam pilihan raya.

“Jika mereka keluar parti, sama ada menjadi ahli bebas ataupun menyertai parti lain, maka status mereka sebagai wakil rakyat terlucut secara automatik. Kita akan tuntut mereka membayar penalti dan ganti rugi.”

Langkah Umno itu menyerupai lafaz taklik dan sumpah baiah diperkenalkan PAS bagi calon di Kelantan, di mana mereka yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen perlu kekal dengan parti itu atau jatuh talak tiga dengan isteri.

PAS memperkenalkan dasar itu ketika bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada 1995, apabila kerajaan Kelantan berdepan tindakan beberapa wakil rakyat melompat parti.

Penstrukturan semula Lembaga Disiplin 

Zahid berkata, Umno akan menstruktur semula Lembaga Disiplinnya untuk menjadi badan bebas yang mempunyai kuasa mutlak mengambil tindakan terhadap ahli.

“Lembaga ini akan dianggotai ahli-ahli perundangan dan pakar-pakar penyiasatan profesional agar tindakan segera dan berkesan boleh diambil tanpa memilih bulu.”

Umno tak terima ahli bukan Melayu

Zahid berkata, Umno tidak perlu membuka keahliannya kepada kaum lain untuk kekal relevan, sebaliknya ia akan terus menjadi parti Melayu dan Bumiputera.

“Umno bukan sebuah parti yang rasis, berat-sebelah dan prejudis, atau menjadi ancaman kepada kaum lain.

“Orang Melayu tidak pernah menzalimi dan meminggirkan mana-mana kaum. Jauh sekali untuk mengambil hak kaum lain secara paksa,” katanya sambil menambah kaum itu sentiasa bertindak berdasarkan “kebijaksanaan Melayu” dan mengutamakan prinsip adil sebagai “kompas moral” dalam setiap tindakan.

Sokong slogan PAS

Zahid berkata, beliau menyokong slogan PAS yang Islam harus memimpin negara ini.

“Malaysia mesti terus dipimpin oleh kita. Malah, secara peribadi saya bersetuju slogan PAS, Islam memimpin. Itu saya amat bersetuju.

“Namun, ia tidak bermakna kita mengamalkan assabiyyah ataupun dasar perkauman yang sempit.”

Bagaimanapun, katanya, parti itu menolak konsep “Malaysian Malaysia” yang menuntut kesamarataan untuk semua kaum yang jelas bertentangan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Penjenamaan semula BN

Zahid berkata, Barisan Nasional (BN) akan dijenamakan semula selepas rundingan dengan parti komponen, iaitu Umno, MCA, MIC, Parti Progresif Penduduk Malaysia dan Parti Bersatu Rakyat Sabah selesai.

Katanya, BN akan menerima keahlian langsung daripada individu yang tidak menyertai mana-mana parti politik dan sedia bekerjasama dengan parti politik lain serta NGO yang berkongsi idea sama.

“Kita akan meneruskan kerjasama dalam gagasan pembangkang seperti PAS atas semangat ta’awun, iaitu kerjasama untuk kemaslahatan bersama, tidak terikat dan bebas dengan cara yang tersendiri.”

Beliau mencadangkan jawatan presiden dihadkan kepada 2 penggal dan had umur keahlian Umno diturunkan daripada 18 tahun kepada 16 tahun dalam usaha meremajakan parti serta mewujudkan kesedaran politik di peringkat lebih awal.

Zahid turut mengumumkan penubuhan sekolah politik untuk melatih ahli Umno, Adun dan ahli Parlimennya menjadi pembangkang berkesan di Dewan Rakyat dan DUN.

Katanya, beliau sedang memfokuskan pengurusan dalaman parti untuk mengekang usaha melemahkan Umno.

Beliau turut menyentuh 7 teras untuk mengukuhkan parti, termasuk perlembagaan, keahlian, struktur parti, perkaderan dan latihan, penerangan dan teknologi maklumat serta institusi dalaman Umno.

Mengenai cadangan memberi autonomi kepada Umno Sabah, Zahid berkata, mesyuarat agung luar biasa akan diadakan untuk memutuskan perkara itu dan perkara lain yang memerlukan pindaan terhadap perlembagaan parti.

Terdahulu, beliau memuji Datuk Seri Najib Razak sebagai “insan berjiwa besar yang tetap setia bersama Umno”.