Anwar: Program bantu asnaf anjuran NGO tak babit jentera kerajaan

Aminuddin Harun (baju merah) memberi sumbangan kepada golongan asnaf di Masjid Jamek Pasir Panjang, sambil disaksikan Anwar Ibrahim (kiri, baju putih).

PORT DICKSON: Calon Pakatan Harapan (PH) di pilihan raya kecil Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Program Maal Hijrah Bersama Asnaf yang dihadirinya hari ini ialah anjuran badan bukan kerajaan (NGO) belia yang tidak membabitkan jentera kerajaan.

Presiden PKR itu berkata, program itu bukannya dianjurkan kerajaan Negeri Sembilan.

“Ianya dianjurkan oleh NGO,” katanya selepas menghadiri program itu di Masjid Jamek Pasir Panjang hari ini.

Beliau berkata demikian susulan sepucuk surat bertarikh 27 September, di mana Majlis Agama Islam Negeri Sembilan meminta mereka yang terbabit dalam Program Maal Hijrah Bersama Asnaf DUN Linggi anjuran pejabat menteri besar Negeri Sembilan diwajibkan menghadiri program hari ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berkata, program hari ini bukan anjuran kerajaan negeri.

“Majlis agama Islam hanya tolong panggil orang sahaja. Kalau tidak, kita tidak kenal siapa orang miskin.”

Beliau hairan kenapa ada pihak mempersoalkan program untuk membantu orang miskin itu.

“Kita bantu orang miskin, kenapa ada masalah?” soalnya.

Terdahulu, Aminuddin menyerahkan bantuan kepada golongan miskin dalam Program Maal Hijrah Bersama Asnaf dengan ditemani Anwar yang berdiri di sebelahnya.

Pada 21 September lalu, Anwar dilaporkan menggesa jentera kerajaan tidak digunakan dalam kempen PRK Port Dickson selama 14 hari.