Anwar tolak perkahwinan sejenis

Anwar Ibrahim menyampaikan tazkirah selepas solat Zohor di Masjid Jamek, Pasir Panjang, hari ini. (Gambar Bernama)

PORT DICKSON: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan desakan pihak tertentu supaya perkahwinan sejenis diiktiraf di negara ini.

“Apa yang mereka buat, kita tak tahu…itu dia dengan tuhan…tetapi nak paksa kita terima kahwin sesama jenis, kita tolak,” katanya yang menyifatkan tidak wajar bagi golongan memperjuangkan agenda lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) memaksa pihak lain menerima pandangan mereka.

Presiden PKR itu berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah Maal Hijrah di Masjid Jamek Pasir Panjang hari ini yang turut dihadiri Pengerusi PH dan PKR Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan Pengerusi Amanah Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar.

Majlis yang dihadiri 200 penduduk setempat itu ialah program ke-3 dalam siri kempennya hari ini, selepas melakukan tinjauan di Pasar Besar Port Dickson awal pagi tadi dan merasmikan jamuan di Tokong Dewa Chi San Liang Gong, Bukit Pelandok.

PRK Port Dickson menyaksikan saingan 7 penjuru melibatkan PH, PAS dan 5 calon Bebas, termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

SPR menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari mengundi, manakala 9 Oktober untuk pengundian awal.