Bung Moktar, Tajuddin aset Umno, kata Pandikar

Pandikar Amin Mulia berkata, tidak kira apa gelaran negatif diberikan kepada seseorang pemimpin, tetapi matlamat utama ialah memenangi pilihan raya. (Kredit gambar: Facebook mediaumnomalaysia)

KUALA LUMPUR: Perwakilan Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan “warlord” seperti Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman ialah aset parti.

Bekas speaker Dewan Rakyat itu berkata, walaupun 2 pemimpin itu digelar “warlord” oleh sesetengah ahli Umno, namun mereka berjaya mempertahankan kerusi Parlimen masing-masing dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Pada saya, isu ‘warlord’ adalah isu retorik kerana ia perlu dilihat dari sudut ‘case to case basis’, politik orang kata adalah berkaitan ‘game of number’, parti yang mempunyai ramai penyokong dan calon menang dalam pilihan raya.

“Pastinya kalau semua kawasan yang ditandingi ‘warlord’ menang, seperti Pasir Salak, Kinabatangan. Maka, ‘warlord’ sedemikian baik untuk parti dan ‘warlord’ ini adalah aset untuk parti,” katanya dalam perbahasan di Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Pandikar berkata, tidak kira apa gelaran negatif diberikan kepada seseorang pemimpin, tetapi matlamat utama ialah memenangi pilihan raya.

“Gelaran ini biasanya dikalungkan di leher orang lama dan ia bersulam dengan persepsi kejahatan, perkataan ‘warlord’ sering disinonimkan dengan perkataan dan persepsi negatif, seolah-olah orang lama dalam politik semuanya jahat-jahat belaka.

“Sering menimbulkan kontroversi politik, cara dan pendekatan bersifat feudal, pelaksanaan arahan semata-mata, terus-menerus dari atas ke bawah dan tidak ada komunikasi dua hala, dengan perkataan lain pendapatnya sahaja yang betul, pendapat orang lain semua salah.

“Cuba kita tengok ke arah seberang jalan sebelah sana, macam-macam gelaran yang baik dan dahsyat seperti mahazalim dan kuku besi. Pada mereka, gelaran itu berterusan membawa tuah dan tidak menjadi isu politik, yang penting dalam politik adalah menang dalam pilihan raya.

“Kalau menang dalam pilihan raya, gelaran apa pun tidak menjadi masalah, ‘warlord’ atau apa-apa tidak kisah.”