Eddy Chen, bekas presiden Rehda, dilantik pengerusi PR1MA

Eddy mempunyai pengalaman luas dalam industri pembangunan hartanah selama lebih 3 dekad.

KUALA LUMPUR: Tan Sri Eddy Chen dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang baru berkuatkuasa 1 Okt ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata beliau menggantikan Tan Sri Dr Alies Anor Abdul yang meletak jawatan pada 1 Jun lepas.

Beliau adalah pengarah urusan Kumpulan Metro Kajang Berhad dan pernah menjadi presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) bagi tempoh 1998-2002.

“Eddy Chen mempunyai pengalaman luas dalam industri pembangunan hartanah selama lebih 3 dekad,” menurut kenyataan itu.

Pejabat Perdana Menteri turut mengumumkan pelantikan 3 anggota lembaga pengarah PR1MA yang baru iaitu Datuk Faris Yahaya, Mohd Ali Abdul Karim dan Ahmad Shahrul Mohamed, yang turut berkuatkuasa pada 1 Okt.