Hishammuddin: Umno perlu pendekatan baru raih sokongan rakyat

Hishammuddin Hussein bangga dengan semangat tinggi ditunjukkan 3 sayap Umno, walaupun mereka berdepan pelbagai serangan dan kecaman selepas kekalahan mengejut pada PRU14.

KUALA LUMPUR: Bekas naib presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, parti itu masih di landasan betul, tetapi memerlukan pendekatan baru untuk mengembalikan sokongan rakyat.

“Dari segi roh, semangat, kesetiaan, isi perjuangan tadi saya tengok masih lagi subur,” katanya selepas menghadiri perasmian Perhimpunan Agung Umno ke-72 di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam tadi.

Mengenai ucapan dasar Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, katanya, cadangan perlu dibawa ke peringkat akar umbi untuk direalisasikan.

“Beberapa langkah yang dicadangkan tadi saya harap dapat bawa ke peringkat akar umbi, negeri, bahagian dan cawangan supaya semangat kita lihat dalam persidangan kali ini dapat dijadikan asas untuk kita lonjakkan parti kita, bukan sahaja untuk seronok dalam dewan.”

Terdahulu, beliau bangga dengan semangat tinggi ditunjukkan 3 sayap parti itu, walaupun mereka berdepan pelbagai serangan dan kecaman selepas kekalahan mengejut pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“…dalam keadaan kita dikecam, diserang dan dituduh dengan macam-macam, tapi semangat di kalangan ahli Umno masih lagi menebal. Jadi, saya bangga.

“Tapi cabaran ke depan besar juga. Sekarang ini nak meniti sendiri macam mana hendak ke depan, bagaimana hendak memastikan yang menyokong Umno bukan sahaja mereka yang ada dalam dewan ini, tetapi mereka di luar sana.”