Imigresen ambil langkah tutup ruang rasuah, seleweng

Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali menegaskan jabatan itu tidak akan berkompromi soal keselamatan dan kedaulatan negara. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pihaknya mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meneliti dan memperaku penambahbaikan berterusan terhadap sistem dan prosedur serta tatacara kerja terbaik dalam Jabatan Immigresen Malaysia (JIM).

Ia susulan tindakan SPRM menahan 6 pegawai JIM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Jumaat kerana disyaki terbabit dalam rasuah dan salah guna kuasa.

“Usaha ke arah penambahbaikan ini diambil untuk menutup ruang dan peluang perbuatan rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa,” katanya.

Mustafar berkata perbincangan itu turut melibatkan Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM yang berperanan menjalankan pemeriksaan dan perundingan bagi mengatasi kelemahan dalam amalan, sistem dan tatacara kerja sesebuah organisasi.

Penahanan pegawai imigresen berusia antara 27 dan 50 tahun itu dibuat dalam siasatan berkaitan aktiviti sindiket yang membolehkan rakyat tempatan dan warga asing yang disenarai hitam untuk keluar masuk negara ini.

Turut ditahan seorang ahli perniagaan lelaki yang disyaki menjadi proksi kepada sindiket berkenaan dan seorang wanita warga Vietnam berstatus “senarai hitam” dan kesemua mereka direman 4 hari mulai semalam.

Mustafar menegaskan JIM tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan kedaulatan negara.

Pengarah Perisikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya pula terdapat warga asing yang pernah ditangkap di Malaysia atas kesalahan jenayah dan sebagainya didapati boleh keluar masuk negara ini dengan mudah melalui bantuan sindiket dan ejen mereka.

Menurutnya, perkembangan itu menimbulkan kebimbangan.

“Usaha sedang dilakukan untuk mengesan ejen sindiket itu,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye menekankan keperluan agensi dan jabatan kerajaan mengkaji semula sistem pemantauan bagi mengekang jenayah rasuah.

Beliau berkata JIM harus menerapkan nilai integriti yang tinggi dalam kalangan kakitangannya bagi membanteras salah guna kuasa dan gejala rasuah.