Keterbukaan saya ada had, amaran Zahid kepada pengkhianat Umno

Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan ahli dan pemimpin Umno mengutamakan kepentingan parti dengan tidak menceritakan masalah parti di luar. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada ahli dan pemimpin Umno tidak menyerang parti sehingga membuka peluang kepada musuh kerana ia adalah pengkhianatan kepada parti.

“Jika ada yang tebuk kapal dari dalam untuk bocor, itu bukan perbezaan pendapat, tetapi pengkhianatan kepada parti, sudah-sudahlah berbeza pendapat.

“Saya amat terbuka, tetapi bila diasak ke dinding, keterbukaan saya ada hadnya. Ini Zahid Hamidi, saya letak noktah di situ, mereka tahu DNA saya dalam perjuangan macam mana.

“Saya tidak mahu dilihat warna sebenar, jika ada harimau dan singa dalam hati saya, yang keluar kambing, dalam hal ini saya fikir kita mesti bersatu hati,” katanya dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Presiden Umno itu berkata, beliau terbuka menerima pandangan dan kritikan untuk memperbaiki kelemahan, tetapi bukannya sehingga tahap memecahbelahkan parti.

“Pintu saya sentiasa terbuka, tidak payah temu janji, datang pejabat saya bila-bila masa.

“Cerita dalam kelambu, rumah atau di bilik tidur, kenapa mahu cerita di depan anak-anak ketika makan? Lebih buruk lagi cerita mengenai perkara itu di tepi jalan di hadapan rumah.

“Kalau kita bijaksana, ini analogi yang harus difahami. Saya harap sangat demi kepentingan Umno keseluruhan yang diutamakan ialah ‘housekeeping’, saya tidak mahu berkongsi apa berlaku di ibu pejabat.”

Zahid bagaimanapun tidak menamakan individu yang dimaksudkan itu.