MOF: Kaunter pertanyaan SST dibuka bermula 2 Okt depan

Pejabat Menteri Kewangan juga melantik 2 pegawai untuk menangani sebarang aduan serta mengambil pandangan dan pertanyaan sepanjang kaunter dibuka.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan membuka kaunter pertanyaan berkaitan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 2 Okt ini di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan, Kelana Jaya.

Langkah itu bertujuan memudahkan pihak berkepentingan daripada pelbagai sektor perdagangan dan industri memberikan sebarang maklum balas mahupun aduan berkaitan pelaksanaan SST.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kaunter pertanyaan tersebut akan beroperasi setiap minggu, Isnin sehingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 1 petang.

“Sebanyak 10 kios dan 12 kaunter akan beroperasi sepanjang waktu ini. Kita juga telah melantik 2 pegawai dari Pejabat Menteri Kewangan untuk menangani sebarang aduan serta mengambil pandangan dan pertanyaan sepanjang kaunter ini dibuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua pegawai itu ialah akauntan bertauliah, Datuk Ooi Kok Seng serta bekas ketua pegawai kewangan sebuah syarikat antarabangsa, Toh Yen Kee.

Kedua-dua pegawai khas ini akan berada di kaunter pertanyaan tersebut untuk membantu orang awam sehingga bilangan aduan berkurangan, katanya.

Setakat ini, 18 sesi taklimat soal jawab SST telah diadakan di seluruh negara yang dihadiri lebih 15,000 peserta.

Setelah menerima maklum balas daripada mereka, Kementerian Kewangan bersama JKDM jtelah memutuskan untuk menurunkan kadar cukai SST daripada 10% kepada 5% untuk tayar pneumatik dan motosikal elektrik.