PAU 2018: Jangan guna nama ‘demokrasi’ untuk kritik pemimpin parti, kata Pandikar

Pandikar berkata, pucuk pimpinan tidak seharusnya berkompromi jika ada ahli yang melanggar disiplin parti semata-mata kerana mahu meraikan perbezaan pendapat.

KUALA LUMPUR: Perwakilan Sabah, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengingatkan pucuk pimpinan parti tidak berdiam diri atas tindakan segelintir pemimpin Umno yang menggunakan nama “demokrasi” untuk mengkritik parti dan pemimpin parti.

Bekas speaker Dewan Rakyat itu berkata, tindakan segelintir pemimpin Umno membuat kritikan terbuka secara tidak langsung mencerminkan sikap tidak selari dengan moto parti iaitu “bersatu, bersetia dan berkhidmat”.

“Ada pemimpin Umno keluarkan kenyataan mengkritik pimpinan parti cuma atas nama demokrasi tetapi amat bertentangan dengan disiplin parti. Sikap pemimpin Umno berkenaan secara terang-terangan melanggar moto parti.

“Saya secara peribadi nyatakan berhubung hal “bersatu”, saya berpegang dengan hal falsafah lidi sebatang boleh dipatahkan dengan senang, tetapi jika lidi dikumpulkan sebesar lengan, maka ia sukar dipatahkan.

“Jangan ada sebatang lidi dalam Umno bersikap seperti sebatang balak kerana Umno bukan parti sebesar saiz lidi, jika sebesar lidi ia akan senang dipatahkan,” katanya ketika sesi perbahasan di Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Pandikar berkata, bagi memastikan pimpinan Umno terus bersatu, pucuk pimpinan tidak seharusnya berkompromi jika ada ahli yang melanggar disiplin parti semata-mata kerana mahu meraikan perbezaan pendapat.

Pada masa sama, Pandikar secara tidak langsung menyatakan kedudukan Umno kini sebagai pembangkang membolehkannya duduk sebaris dengan pimpinan parti bahkan dapat membantu menyumbang fikiran dan tenaga.

“Akhirnya Umno kecundang, kekalahan ini amat mengejutkan. Kalau boleh saya pinjam bahasa Melayu Sarawak, iaitu ‘terkejut gila’ hingga ada yang meninggalkan Umno. Walaupun kalah dalam pilihan raya umum, kami Umno Sabah tetap boleh menyimpulkan senyuman lebar.

“Apabila kekalahan ini bertandang, anggaplah ada rancangan kita yang tidak sempurna. Kekalahan Umno pada pilihan raya umum ke-14 lalu adalah kekalahan bermaruah,” katanya.