PAU 2018: Lima parti teras dalam BN ‘baru’, kata Zahid

Zahid berkata, BN baru juga akan meliputi parti politik yang mesra Umno, NGO dan ahli langsung yang tidak mahu menjadi ahli mana-mana parti politik. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan rancangan penjenamaan semula Barisan Nasional (BN) dengan berkata bekas parti kerajaan itu ini terdiri daripada 5 parti politik teras, selain membenarkan keahlian langsung individu.

Lima parti itu ialah Umno, MCA, MIC, MyPPP dan Parti Bersatu Rakyat Sabah.

Beliau berkata, BN juga akan bekerjasama dengan parti politik lain yang mengongsi matlamat perjuangannya.

Zahid berkata, BN baru juga akan meliputi parti politik yang mesra Umno, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli langsung yang tidak mahu menjadi ahli mana-mana parti politik.

Zahid, yang menyampaikan ucapan dasar pertamanya sebagai presiden Umno malam tadi selepas mengambil alih jawatan tersebut pada Jun lepas, turut mencadangkan tempoh jawatan presiden parti dihadkan kepada 2 penggal.

“Mari kita bincang dan debatkan isu ini,” katanya kepada lebih 3,000 perwakilan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau berkata, sebuah sekolah politik akan diwujudkan bagi melatih ahli Umno, termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri, yang kini membentuk barisan pembangkang negara.

Katanya, Umno perlu menerima hakikat bahawa ia kini hanya memegang kuasa pemerintahan di Perlis dan Pahang.

“Jika ada dalam kalangan ahli Umno yang berasa sukar untuk memainkan peranan mereka sebagai pembangkang, maka bersabarlah.”

Zahid berkata beliau kini sibuk “memberi fokus kepada pengurusan parti” sejak menjadi presiden.

Dalam ucapannya itu, Zahid bercakap tentang 7 langkah bagi menguatkan parti, yang antara lain berkait dengan perlembagaan parti, keahlian, struktur parti, IT dan institusi Umno.

Katanya, lembaga disiplin parti akan distruktur semula dan indeks pencapaian utama bagi mengukur program yang dijalankan ahli dilaksanakan.