PAU 2018: Najib puji ucapan sulung Zahid, bangkit semangat ahli

Najib berharap ucapan Zahid akan menjadi iktibar dan merangsang ahli Umno untuk terus berjuang. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak memuji ucapan sulung Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung Umno 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

Bekas presiden Umno itu berkata ucapan Zahid penuh bersemangat apabila beliau menggariskan langkah positif kepada ahli Umno untuk terus berdepan dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Ucapan sulung beliau penuh bersemangat dan mengariskan langkah ke hadapan dan saranan kepada ahli Umno supaya istiqamah dan bersatu padu serta mengambil langkah lebih positif.

“Saya lihat ucapan beliau Ahmad merangkumi bukan sahaja aspek dalaman, tetapi juga kedudukan negara terutama janji diluahkan PH yang hari ini amat mengecewakan,” katanya kepada pemberita selepas mendengar ucapan dasar presiden di Dewan Merdeka, PWTC.

Najib yang juga ketua Umno Pekan berkata beliau berharap apa yang diucapkan presiden Umno itu dapat dijadikan iktibar oleh anggota parti.

“Saya harap ucapan Ahmad Zahid akan menjadi iktibar dan merangsang ahli Umno untuk terus berjuang, sebab kita memerlukan komitmen dan kesetiaan. Yakinlah bahawa perjuangan Umno lebih besar daripada apa-apa juga yang kita fkirkan untuk diri kita.

“Ini sebuah perjuangan yang sungguh bernilai, yang amat diperlukan bukan sahaja diteruskan tetapi diperkasakan lagi,” katanya sambil meminta setiap ahli supaya terus bersama parti.

Ini adalah perhimpunan agung Umno pertama dihadiri Najib sejak peletakan jawatannya sebagai presiden tiga hari selepas parti itu kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum 9 Mei lepas.

Beliau kini berhadapan pendakwaan lebih 25 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Tuduhan tersebut berkaitan 2 pemindahan wang berjumlah AS$681 juta (RM2.6 bilion) kepada akaun peribadi beliau pada 2013.