PAU 2018: Slogan ‘Islam Memimpin’, perwakilan sokong Zahid

 

Perwakilan Kalabakan, Abdul Karim Abdul Wahid

KUALA LUMPUR: Pendirian Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong slogan PAS bahawa Islam perlu menjadi kuasa tertinggi dan mentadbir di Malaysia disokong majoriti pimpinan akar umbi.

Perwakilan dari Kalabakan, Abdul Karim Abdul Wahid berkata, slogan Islam perlu berada pada tampuk tertinggi pemerintahan negara merupakan teras perjuangan Umno sejak dahulu lagi, bukan kerana ia disebut pemimpin PAS dan Umno baru menyokongnya.

Katanya, Umno hanya dilihat tidak kelihatan terkedepan memperjuangan Islam berbanding PAS kerana parti tidak terus memantapkan asas Islam itu.

“Saya rasa itu (slogan Islam memimpin) merupakan hala tuju Umno sebenarnya, ia perjuangan asal kita, cuma pada masa sekarang kita perlu memantapkan balik perjuangan itu supaya Umno kembali kepada asal untuk agama, bangsa dan negara, selain perjuangkan hak Melayu, ”katanya kepada FMT di Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Akar umbi dari Sabah itu bagaimanapun menegaskan walaupun Umno memperjuangkan slogan Islam perlu memimpin, ia tidak bermakna hak bangsa lain untuk beragama tidak dibela.

“Umno sebelum ini telah tunjukkan bahawa kita merupakan pemerintah yang membela nasib kaum lain dalam hal amalan keagamaaan mereka, ini juga dituntut dalam agama Islam,” katanya.

Perwakilan dari Tasek Gelugor, Ibrahim Nordin yang turut menyokong perkara itu berkata, Umno perlu berani dalam usaha mengembalian kedudukan Islam ke tempat lebih tinggi kerana ia kini diancam pihak tertentu.

“Kalau kita tengok stuasi semasa hari ini, Islam nampak tergugat, telah dikacau, padahal kita tidak menyekat agama lain, hak agama lain kita pelihara.

“Kita perlu pelihara dan tinggikan lagi kedudukan Islam dan tinggikan lagi kuasanya selaras dengan perlembagaan negara. Bukan Islam tidak ada hak sentuh agama Islam, kalau bukan Umno yang memperjuangkannya, siapa lagi,” soal beliau.

Zahid dalam ucapan dasar sulungnya malam tadi berkata, beliau menyokong slogan PAS untuk menjadikan Islam kuasa tertinggi dalam pentadbiran negara seperti yang sering dilaungkan presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Justeru katanya Umno mesti terus memimpin Malaysia walaupun ia tidak bermakna parti itu mengamalkan semangat assabiyyah atau dasar perkauman.

Bagaimanapun kata Zahid, parti itu menolak konsep “Malaysian Malaysia” yang menuntut kesamarataan dalam semua perkara untuk semua kaum yang jelas bertentangan dengan Perkara 153 perlembagaan persekutuan.

Sokong slogan PAS pandangan peribadi Zahid

Dalam pada itu, perwakilan Kuala Nerus, Zamzaini Zolkeffi mempunyai pandangan sedikit berbeza dan menganggap sokongan Zahid kepada slogan Islam memimpin PAS merupakan pandangan peribadi beliau, bukannya pendirian parti.

“Itu pandangan peribadi, dari segi parti, dengan keadaan 60% penduduk Malaysia orang Melayu bumiputera, orang Melayu Islam yang mesti memimpin, katanya.

Bagaimanapun wakil dari Terengganu itu menyokong pendirian Zahid menolak konsep “Malaysian Malaysia” yang memperuntukkan hak sama rata kepada semua kaum.

“Kita tolak semangat Malaysian Malaysia. Kita kena ikut perlembagaan bahawa Islam adalah agama rasmi, bahasa Melayu bahasa kebangsaan dan kedudukan raja-raja tidak pernah berubah. Kita akan pertahan perkara ini, pendirian presiden selaras dengan perlembagaan,” katanya.

Bagi Mustafa Kamal dari Ipoh Timur, slogan Islam menerajui tampuk pemerintahan negara bukanlah perkara baru kerana ia telah diperjuangkn ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad lagi.

Perwakilan Ipoh Timur, Mustafa Kamal (dua dari kanan) berkata, slogan Islam menerajui tampuk pemerintahan negara bukanlah perkara baru.

“Saya sokong pendirian presiden kerana Islam perlu di depan dan perlu berada di atas sekali. Kita tidak boleh membelakangkannya kerana dari dulu lagi Islam adalah agama persekutuan, dan kita tak boleh buang perkara itu,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sikap Dr Mahathir terhadap Islam kini sedikit tersasar apabila bekas presiden Umno itu menerajui kerajaan Pakatan Harapan yang “didominasi” oleh orang bukan Islam.