Perwakilan bidas pemimpin Umno persoal Zahid tiada hala tuju jelas

Faisal Ismail Aziz berkata, 3 hala tuju Umno dinyatakan dengan jelas dalam “retreat” Umno di Janda Baik, Pahang, Ogos lalu. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Perwakilan Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz membidas pemimpin Umno yang mempersoalkan kepimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak mempunyai hala tuju jelas.

Katanya, 3 hala tuju Umno dinyatakan dengan jelas dalam “retreat” Umno di Janda Baik, Pahang, Ogos lalu.

“Yang saya tidak boleh terima, apabila ada yang persoalkan hala tuju. Kalau tidak boleh hadir atas apa-apa sebab yang lain, bolehlah hantar wakil yang kemudiannya akan menerangkan hasil ‘retreat’ kepada pihak diwakili itu, tidak mengapa.

“Yang masalahnya adalah ada ketua Umno bahagian, ahli Parlimen persoalkan hala tuju parti melalui media, ini saya tidak boleh terima,” katanya sewaktu berbahas ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno hari ini.

Faisal bagaimanapun tidak menamakan ahli Parlimen dan ketua bahagian mengkritik pucuk pimpinan parti melalui media sosial.

Tiga hala tuju itu ialah menjadi pembangkang berwibawa dan berkesan di Dewan Undangan Negeri, Dewan Rakyat atau sebarang platform berlandaskan undang-undang, memperkasakan parti dengan kembali kepada perjuangan asal dan melakukan pembaharuan, serta mewujudkan muafakat politik supaya kerajaan sedia ada boleh digantikan segera.

Faisal turut meminta ahli menghargai pemimpin yang masih bersama Umno dan ditahan pihak berkuasa atas dakwaan rasuah.

“Tidak semua pemimpin tahan apabila ditekan kerajaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia datang setiap hari dari pagi sampai ke malam.

“Beri penghargaan kepada Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, pemimpin yang tahan diuji, dimalukan dengan pakaian oren.

“Kita gesa Suhakam yang sudah lama tidur dan arwah, mereka patut ambil tindakan terkutuk ini, memalukan pemimpin kita dengan mengenakan pakaian oren, walaupun mereka ini belum didapati bersalah.”