Perwakilan cadang deposit RM1 juta ikat wakil rakyat

Perwakilan Ipoh Timur, Mustafa Kamal berkata, akujanji sudah cukup untuk menghalang wakil rakyat meninggalkan Umno.

KUALA LUMPUR: Seorang perwakilan Umno mencadangkan wakil rakyat meletakkan deposit RM500,000 hingga RM1 juta untuk menghalang mereka keluar parti selepas memenangi kerusi dalam pilihan raya.

Perwakilan dari Tasek Gelugor di Pulau Pinang, Ibrahim Nordin berkata cadangan itu boleh menjadi alternatif untuk mengikat wakil rakyat dan wang itu akan dipulangkan selepas penggal mereka berakhir.

“Undang-undang ikat wakil rakyat itu merupakan tindakan tegas dan bagus untuk dilaksanakan sebab kemenangan mereka itu hasil daripada perjuangan Umno.

“Selain deposit, akujanji juga perlu dilakukan supaya ada hitam putih…Kalau mereka lari atau tidak mahu lepas kerusi, baik Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen, duit itu diambil parti,” katanya kepada FMT.

Cadangan itu bagaimanapun dibantah perwakilan dari Ipoh Timur, Mustafa Kamal yang berkata, akujanji sudah cukup untuk menghalang wakil rakyat meninggalkan Umno.

“Tidak setuju kenakan deposit kepada wakil rakyat, tapi cukup sekadar dengan akujanji. Sekiranya keluar parti, mereka kena kosongkan kerusi itu, berhenti wakil rakyat.”

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua wakil rakyat wajib menandatangani akujanji untuk mengelakkan mereka keluar parti selepas memenangi kerusi dalam pilihan raya.

“Jika mereka keluar parti, sama ada menjadi ahli bebas ataupun menyertai parti lain, maka status mereka sebagai wakil rakyat terlucut secara automatik. Kita akan tuntut mereka membayar penalti dan ganti rugi.”

Langkah Umno itu menyerupai lafaz taklik dan sumpah baiah diperkenalkan PAS bagi calon di Kelantan, di mana mereka yang memenangi kerusi DUN atau Parlimen perlu kekal dengan parti itu atau jatuh talak tiga dengan isteri.

PAS memperkenalkan dasar itu ketika bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada 1995, apabila kerajaan Kelantan berdepan tindakan beberapa wakil rakyat melompat parti.

Veteran Umno, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dilaporkan berkata, sukar menggunakan undang-undang untuk mengikat wakil rakyat melompat parti.

Katanya, Umno tidak mempunyai kuasa sepenuhnya ke atas wakil rakyat kerana mereka berkhidmat untuk rakyat, bukannya parti.