SPRM gesa kerajaan kaji hukuman sebat perasuah

Shukri Abdull (kanan) berkata, jenayah rasuah antara punca merebaknya jenayah lain dan cadangan hukuman sebat mencerminkan usaha serius SPRM dalam membanteras rasuah habis-habisan. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta kerajaan membuat pertimbangan dan kajian terhadap cadangan melaksanakan hukuman sebat ke atas pesalah rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull berkata cadangan hukuman sebat itu secara langsung mencerminkan usaha serius pihaknya membanteras rasuah habis-habisan.

“Kalau kesalahan menipu boleh dikenakan hukuman sebat mandatori, apatah lagi jenayah rasuah…ia lebih ‘deterrent’ (bersifat pencegahan),” katanya selepas majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena ulang tahun penubuhan SPRM ke-51 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, malam ini.

Jelasnya, buat masa ini, mengikut Akta SPRM 2009, hukuman ke atas pesalah rasuah hanyalah maksimum penjara 20 tahun (selain denda).

“Penjara 20 tahun ini adalah maksimum, tetapi kebanyakan mereka akan merayu di mahkamah hingga ada yang dipenjarakan hanya sehari.”

Tegasnya, jenayah rasuah antara punca merebaknya jenayah lain dan seharusnya hukuman sebat dikaji secara mendalam.

“Saya serius mengenai cadangan tersebut,” katanya.

Kelmarin, Shukri mencadangkan kerajaan meminda akta supaya perasuah dikenakan hukuman lebih berat seperti sebatan dalam usaha memerangi rasuah habis-habisan.