Sukar bagi Umno ‘ikat’ wakil rakyat daripada lompat parti, kata Ku Li

Razaleigh berkata, Umno akan berdepan pelbagai masalah lain jika mahu mendisiplinkan wakil rakyatnya dengan mengikat mereka dengan undang-undang.

KUALA LUMPUR: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berkata sukar untuk parti itu menguatkuasakan undang-undang bagi mengikat wakil rakyatnya daripada melompat parti.

Kata beliau, Umno tidak mempunyai kuasa sepenuhnya ke atas seseorang wakil rakyat kerana mereka bukan berkhidmat untuk parti tetapi rakyat.

“Saya tidak tahu dari segi undang-undang boleh buat atau tidak boleh buat, sebab Pulau Pinang, Sabah sudah buat, nampak bukan mudah kerana ia bukan sahaja berkaitan undang-undang yang boleh mewajibkan seseorang yang dipilih menjadi wakil rakyat.

“Ia ada kaitan dengan hak seseorang itu sendiri. Mereka (wakil rakyat) menawarkan khidmat kepada rakyat bukan kepada parti. Parti cuma memilih orang itu menjadi calon dan memberi sokongan, tetapi ia bukan sahaja daripada parti, malah juga pengundi yang tidak berparti atau menyokong perjuangan parti.

“Saya tidak mendalami perkara itu, tetapi mengikut pengalaman di Sabah dan Pulau Pinang yang lakukannya sebelum ini, usaha mengikat wakil rakyat itu tidak berjaya,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian ucapan dasar presiden di Persidangan Agung Umno 2018 di PWTC malam tadi.

Razaleigh atau lebih selesa dipanggil Ku Li berkata, Umno akan berdepan pelbagai masalah lain jika mahu mendisiplinkan wakil rakyatnya dengan mengikat mereka dengan undang-undang.

“Kita berdepan dengan banyak masalah, masalah hak peribadi, hak pengundi. Mungkin wakil rakyat tidak sehaluan dengan perjuangan yang dibawa parti,” katanya.

Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu akan bertindak menyaman wakil rakyatnya yang meninggalkan parti dengan menuntut mereka mengosongkan kerusi serta membayar balik kos sepanjang kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Zahid berkata, Umno akan turut mewajibkan semua wakil rakyatnya menandatangani akujanji untuk mengelakkan perbuatan keluar parti selepas memenangi kerusi dalam pilihan raya.

“Jika mereka keluar parti, sama ada menjadi ahli bebas ataupun menyertai parti lain, maka status mereka sebagai wakil rakyat terlucut secara automatik. Kita akan tuntut mereka membayar penalti dan ganti rugi.” katanya dalam ucapan beliau.

Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak berkata, tindakan tegas perlu dikenakan kepada wakil rakyat yang meninggalkan parti kerana mereka menang atas tiket Umno-Barisan Nasional (BN).

“Masa bertanding, wakil rakyat tersebut diberi segala bantuan (peruntukan), sokongan daripada ahli Umno sehingga mereka berjaya menjadi anggota Parlimen.

“Ini prinsip moraliti dalam politik, sama ada kita boleh paksa atau tidak, kita kena tengok dari aspek perundangan.

“Namun, mereka perlu merujuk kepada parti berhubung keputusan yang dibuat dan tawarkan diri apa-apa keputusan terbaik yang boleh diambil, sama ada mengadakan pilihan raya kecil atau keputusan lain,” katanya selepas mendengar ucapan dasar Zahid, malam tadi.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bersetuju tindakan undang-undang perlu diambil terhadap wakil rakyat yang keluar parti.

“Kita tak boleh kata mustahil, kadang-kadang mahkamah ini keputusan dia boleh bermacam-macam, tapi sekurang-kurangnya bila kita buat begitu, ia menjadi satu pencegahan (kepada wakil rakyat daripada keluar parti).

“Semua parti buat perkara itu, PKR pun buat, PAS pun buat sehingga talak tiga kalau lompat parti. Jadi, kita buat sebagai langkah pencegahan sahaja.”

Langkah Umno itu menyerupai lafaz taklik dan sumpah baiah diperkenalkan PAS bagi calon di Kelantan, di mana mereka yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri atau Parlimen perlu kekal dengan parti itu atau jatuh talak tiga dengan isteri.

PAS memperkenalkan dasar itu ketika bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada 1995, apabila kerajaan Kelantan berdepan tindakan beberapa wakil rakyat melompat parti.

Umno kini hanya mempunyai 49 kerusi Parlimen selepas 5 wakil rakyatnya keluar parti sejak PRU14, dengan yang terbaru ialah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman.