Syed Zaid Albar dilantik pengerusi eksekutif Suruhanjaya Sekuriti

Syed Zaid Albar, pengerusi baru SC berkuatkuasa 15 Okt depan.

PETALING JAYA: Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Syed Zaid Albar sebagai pengerusi eksekutif Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang baru menggantikan Tan Sri Ranjit Anjit Singh berkuatkuasa 15 Okt depan.

JPM dalam satu kenyataan berkata, Syed Zaid merupakan lulusan undang-undang dari universiti di United Kingdom dan menjadi peguam di Lincoln Inn, London pada 1979. Setahun kemudian beliau didaftarkan sebagai peguam di Mahkamah Tinggi Malaya.

Syed Zaid mempunyai pengalaman lebih 38 tahun dalam bidang perundangan dan pernah berkhidmat di firma guaman Skrine & Co sebelum menubuhkan firmanyanya sendiri, Albar & Partners.

Beliau juga pernah menjadi ahli panel Inkuiri Dana Pampasan dan ahli Jawatankuasa Rayuan Bursa Malaysia Bhd, serta ahli Jawatankuasa Kajian Undang-undang Islam Bank Negara Malaysia, kata kenyataan itu lagi.

Kemahiran beliau merentasi pelbagai sektor seperti undang-undang korporat, pasaran modal, sukuk dan perbankan islam dan konvensional.

Beliau juga adalah setiausaha Yayasan Kepimpinan Perdana.

Dalam perkembangan berkaitan, Suruhanjaya Sekuriti dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan persaraan Ranjit sebagai pengerusi berkuatkuasa tarikh sama bulan depan.

SC berkata, Ranjit telah berkhidmat dengan badan itu selama 25 tahun dan memegang jawatan pengerusi sejak 6 tahun lepas.