Timbalan presiden: Umno usah mimpi ditawar jawatan, tubuh kerajaan perpaduan

Mohamad Hasan berkata, amat sukar untuk mengembalikan keyakinan orang Melayu yang marah dengan sikap segelintir pemimpin Umno.

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan parti itu tidak bermimpi ditawarkan jawatan atau menubuhkan kerajaan perpaduan dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH).

Beliau sebaliknya menasihatkan ahli dan pemimpin Umno bangkit daripada kekalahan mengejut dalam pilihan raya umum ke-14 lalu dan berkhidmat kepada rakyat berbilang kaum, bukannya bangsa Melayu sahaja.

“Kita ubahlah dan buatlah apa yang patut supaya kesilapan lalu tidak lagi diulangi, kita mesti berusaha. Jangan bermimpi lagi akan ada orang bawa tepak sirih untuk tubuhkan kerajaan. Kalau bawa tepak sirih untuk kita jadi penumpang, maka lupakan.

“Walaupun sudah jatuh terjerumus, tidak bermakna kita tidak boleh bangun semula. Kita dengan tekad murni, bangun semula,” katanya secara berkias dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno ke-72 hari ini.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu berkata, tidak susah menjaga hati orang Melayu, tetapi amat sukar untuk mengembalikan keyakinan kaum itu yang marah dengan sikap segelintir pemimpin Umno.

“Orang Melayu tidak susah hendak jaga, orang Melayu ini hatinya lembut, susah hendak marah dengan orang, tetapi jangan ambil enteng dan ambil senang. Orang Melayu susah hendak merajuk, tetapi kalau merajuk susah pula hendak pujuk.”

Beliau turut menasihatkan ahli Umno tidak menyerang kerajaan PH sekarang, sebaliknya perlu tunggu sehingga mereka gagal mentadbir negara.

“Orang sekarang sedang hina kita dan ada di sebalah sana sedang berbulan madu, kita jangan buang masa berdebat dengan orang yang berkuasa, kita simpan elok-elok, kita keluarkan satu persatu apabila rakyat sudah marah, ketika itu kita hentam cukup-cukup.

“Apabila rakyat sudah merasakan ekonomi negara merosot, tidak nampak pertumbuhan ekonomi, banyak orang hilang kerja dan menganggur, maka masa untuk kita katakan tuan-tuan sudah tersalah pilih.”