Umno tiada aset berbilion ringgit, kata Zahid

Ahmad Zahid Hamidi menolak persepsi Umno mempunyai banyak aset.

KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menolak dakwaan sesetengah pihak yang parti itu memiliki aset berbilion ringgit.

“Bayangan seolah-olah kita ada aset berbilion ringgit, tetapi laporan CEO (ketua pegawai eksekutif) syarikat dan pemegang saham, saya lihat harta kita tak sebanyak itu,” katanya dalam ucapan penggulungan di Perhimpunan Agung Umno ke-72 hari ini.

Beliau berkata, sebahagian aset itu di bawah nama individu dan Umno akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan kembali aset parti yang didakwa milik individu itu.

Katanya, Umno akan mengumpul maklumat berkaitan sebelum mendedahkan butirannya dalam cara paling telus.

“Ada dalam kalangan penama ini yang presiden dahulu letakkan kepercayaan bagi pihak Umno, tapi bila disiasat, aset itu diletak atas nama mereka, mengaku dia punya aset.

“Mereka adalah pemegang amanah kita, tapi kita tak nak orang yang tidak amanah. Saya tidak perlu mohon mandat tuan puan kerana saya percaya di hati anda beri kepercayaan kepada saya.

“Pengembalian (aset) ini akan dibawa kepada jawatankuasa pengurusan dan dibentang secara telus kepada Majlis Tertinggi.

“Umno akan ambil tindakan undang-undang untuk dapatkan balik aset Umno.”

Semalam, Naib Ketua Pemuda Umno, Shahril Hamdan menggesa pucuk pimpinan mempertimbangkan cadangan menjual aset parti untuk mendapatkan wang bagi membiayai operasi harian cawangannya di seluruh negara.

Katanya, hasil daripada penjualan aset itu dapat membantu parti kerana dananya masih dibekukan pihak berkuasa, susulan siasatan ke atas skandal 1MDB.

“Akaun kita dibekukan, tetapi aset kita berjuta-juta.

“Kenapa tidak jual aset itu dan beri wang itu kepada cawangan Umno sekurang-kurangnya untuk membiayai kos asas mereka?” katanya semalam.