Beberapa pindaan Auku akan berlaku, kata Maszlee

PUTRAJAYA: Menteri Pendidikan Maszlee Malik mengumumkan beberapa pindaan terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) akan berlaku bagi membuka kekangan ke atas kebebasan pelajar.

Bercakap kepada pemberita selepas perbincangan selama hampir 2 jam dengan wakil kumpulan mahasiswa, Maszlee berkata pindaan akan dilakukan terhadap “beberapa seksyen-seksyen dalam Auku” dan undang-undang lain.

“Ketika bersama dengan mahasiswa tadi mereka juga telah serahkan cadangan-cadangan berkaitan Auku,” katanya pada sidang media di Hotel Everly hari ini.

Maszlee menambah pihaknya akan membawa pindaan Auku itu pada persidangan Parlimen akan datang.

Wakil Gabungan Pembebasan Akademik IPT, Asheeq Ali berkata, pihaknya menyokong komitmen kementerian membuka kekangan ke atas kebebasan pelajar dan akademik.

“Melalui perjumpaan ini Seksyen 47, Seksyen 15(2) dan Seksyen A 174 Auku dan peraturan disiplin 20 di Universiti Islam Antarabangsa akan dipinda dan dimansuhkan,” katanya.

Pemansuhan Auku adalah manifesto kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.