Beli ubat anti-kanser? Tanya doktor anda dulu

KUALA LUMPUR: Seorang bekas penasihat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu mempercayai dakwaan manfaat produk makanan kesihatan.

Dr Narimah Awin, yang juga bekas pengarah bahagian pembangunan kesihatan keluarga Kementerian Kesihatan, berkata ramai rakyat kurang pengetahuan kesihatan dan kadang-kadang mudah tertipu dengan dakwaan yang dibuat syarikat dadah, seperti mereka yang menjual produk makanan tambahan.

“Mereka akan membeli apa sahaja di pasaran kerana dakwaan manfaat produk tersebut,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada forum Kongres Kanser Dunia di Kuala Lumpur hari ini. Program forum itu menggambarkannya sebagai bekas pesakit kanser.

Narimah menyatakan pasaran di Malaysia penuh dengan produk makanan tambahan yang mendakwa boleh menyembuhkan atau mencegah penyakit, termasuk penyakit serius seperti kanser.

“Saya dapat memahami orang seperti pesakit kanser sanggup mencuba apa sahaja, tetapi nasihat saya adalah dapatkan semua pengetahuan dan keterangan yang anda perlukan dari seorang doktor,” katanya.

Katanya, beliau sangat risau dengan mereka yang mempunyai kewangan yang terhad. “Saya tidak mahu mereka membazirkan wang mereka. Nasihat saya, sila dengar nasihat dari pakar.”

Dalam ucaptamanya, beliau mengeluh dengan sikap rakyat di bandar, terutamanya yang berpendidikan tinggi, kurang bermotivasi berbanding rakyat luar bandar ketika mendapatkan rawatan pencegahan.

Beliau berkata rakyat di kawasan luar bandar cenderung lebih mempercayai doktor.

Beliau bercakap mengenai pengalamannya menjalankan ujian pap smear di rumah panjang di Sarawak.

“Kami mempunyai wanita yang mendaftar untuk pemeriksaan pada waktu malam,” katanya. “Saya bertanya kepada mereka mengapa mereka datang untuk ujian. Mereka berkata mereka tidak tahu apa itu pap smear tetapi mereka mahu buat ujian itu kerana doktor mengatakan ia baik untuk mereka.

“Tetapi di sini kita mempunyai wanita yang berpendidikan tinggi yang tinggal di tempat-tempat seperti Damansara Heights atau bekerja sebagai CEO dan mereka tidak datang untuk membuat ujian pap smear.”

Beliau berkata lebih ramai golongan berpendidikan mungkin menganggap mereka dapat mengesan gejala penyakit dan oleh itu kurang bermotivasi untuk menjalani pemeriksaan.