China batal mesyuarat keselamatan dengan AS

China dan AS juga terikat dalam perang perdagangan yang menyaksikan masing-masing mengenakan pelbagai tarif ke atas import masing-masing. (Gambar Reuters)

WASHINGTON: China telah membatalkan mesyuarat keselamatan dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Jim Mattis yang dijadualkan Oktober ini, kata seorang pegawai kanan AS semalam beberapa hari selepas pegawai tinggi China berkata tidak ada sebab untuk panik berhubung ketegangan antara 2 negara itu.

Pegawai tersebut, yang terlibat dengan dasar China dan enggan dikenali berkata, tidak jelas apakah atau bilakah mesyuarat itu akan dijadualkan semula.

Beliau berkata, tidak jelas sama ada pembatalan mesyuarat tersebut disebabkan pelbagai pertikaian yang berlaku antara Beijing dengan Washington mengenai isu seperti jualan senjata dan aktiviti ketenteraan di Laut China Selatan dan perairan di sekeliling negara China.

China dan AS juga terikat dalam perang perdagangan yang menyaksikan masing-masing mengenakan pelbagai tarif ke atas import masing-masing.

“Ketegangan itu semakin meningkat, dan boleh membahayakan kedua-dua pihak,” kata pegawai itu lagi.

Jabatan Negara AS enggan memberi apa-apa komen. Pegawai di Rumah Putih dan Jabatan Pertahanan tidak menjawab pertanyaan yang dikemukakan. Kementerian Luar dan Pertahanan China juga tidak memberi komen.

Sumber di Beijing yang maklum tentang isu ini berkata minggu lepas bahawa mesyuarat keselamatan berkenaan tidak akan diadakan berikutan ketegangan hubungan antara 2 negara itu.

Diplomat kanan kerajaan China, Wang Yi berkata Jumaat bahawa “tiada sebab untuk panik” berhubung pergeseran antara Beijing dan Washington, tetapi mengingatkan China tidak akan diperas ugut atau tunduk kepada tekanan berhubung perdagangan.

Pada mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Rabu lepas, Presiden Donald Trump menuduh Beijing cuba campur tangan dalam pilihan raya Kongres AS pada 6 Nov depan bagi menghalang beliau dan parti Republikan mencapai keputusan baik kerana dasar perdagangannya terhadap negara itu.

Trump tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya, sementara Wang menolak tuduhan itu