DAP, PKR, Amanah harus bercantum jadi satu, kata Boo

bekas pengerusi DAP Johor Boo Cheng Hau perkara percantuman DAP, PKR dan Amanah mampu melawan politik kaum.

PETALING JAYA: Bekas pengerusi DAP Johor berkata partinya, PKR dan Amanah harus mempertimbangkan “percantuman besar” menjadi 1 parti politik dalam usaha menyingkir politik perkauman.

Dr Boo Cheng Hau berkata 3 parti itu merupakan komponen parti tidak berasaskan kaum dalam gabungan pemerintah.

Bekas Adun Skudai berkata langkah itu akan memaksa parti seperti Umno, PAS dan PPBM “menjauhi politik suku seperti apartheid”.

“Ini akan membuka parti itu kepada semua rakyat dalam usaha menuju politik tanpa perkauman yang akan membawa Malaysia dan Asia Tenggara menjadi negara maju dan rantai yang aman dan makmur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Boo yang lantang mengkritik politik berasaskan kaum sekali lagi menggesa PPBM meninggalkan ideologi berasaskan kaum kerana ia bertentangan dengan sebab-sebab penubuhan Pakatan Harapan.

“Jika tidak, PH lama-kelamaan akan menjadi BN 2.0 dan berulangnya dominasi satu kumpulan etnik ke atas lain-lain dan mengorbankan nilai dan prinsip besar seperti tadbir urus yang baik, integriti dan egalitarianisme.”

Pada September, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan identiti berasaskan kaum sebagai realisitik kerana rakyat masih terbahagi mengikut garis perkauman.

Perdana menteri berkata walaupun partinya dikritik, hakikatnya adalah semua parti politik memilih calon berpandukan kaum majoriti di kawasan yang ditandingi.

Terdahulu Boo mengingatkan sebarang bentuk kerjasama antara Umno dan PAS akan memecah-belahkan masyarakat.

Hubungan antara 2 parti itu semakin baik tahun lepas, apabila pemimpin Umno dan PAS berkongsi pentas dalam beberapa acara.

Hubungan kedua-dua parti itu semakin kuat selepas pilihan raya umum 9 Mei, terutama pada pilihan raya kecil DUN Sungai Kandis dan DUN Seri Setia apabila mereka saling memberi laluan dan menyokong calon.

Bulan lepas, pemimpin Umno menghadiri perhimpunan tahunan PAS di Terengganu dan pemimpin PAS menghadiri perhimpunan tahunan Umno beberapa hari lepas.