Hadi: Mengapa Anwar tidak bertanding di kawasan majoriti Islam?

Abdul Hadi mengkritik Anwar kerana tidak konsisten dengan mengambil sifat berlainan apabila bersama-sama dengan kaum yang berlainan.

PORT DICKSON: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempersoalkan mengapa calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak berani bertanding di kawasan majoriti orang Islam, sebaliknya memilih kawasan 60% pengundi bukan Islam.

“Mengapa dia tak berani bertanding di kawasan yang majoriti orang Islam,” katanya dalam Ceramah Perdana di Kampung Teluk Kemang di sini bagi menyokong calon PAS dalam pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson, malam tadi.

PRK Port Dickson yang dijadualkan pada 13 Okt depan bakal menyaksikan pertandingan 7 penjuru selepas selesai proses penamaan calon semalam.

Ia membabitkan ketua umum PKR Anwar Ibrahim; calon PAS Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar; Mohd Saiful Bukhari Azlan (Bebas); Lau Seck Yan (Bebas); Chan Keng Leong (Bebas); dan Kan Chee Yuen (Bebas) dan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Kerusi Parlimen Port Dickson mempunyai seramai 43% pengundi Melayu, Cina (34%), India (21%) dan lain-lain (3%).

Abdul Hadi turut mengkritik Anwar yang tidak konsisten dengan berkata pemimpin PKR itu mengambil sifat yang berlainan apabila bersama dengan kaum lain.

“Contohnya di masjid dia jadi imam, di tempat orang Sikh dia pakai cara Sikh, tempat Tamil dia menari Tamil,” katanya.

Ahli Parlimen Marang itu menegur Anwar dan menyatakan bahawa orang Melayu mempunyai budayanya sendiri.

“Orang Tamil hormat kita kalau kita ada pendirian kita, orang Tamil tak marah. Orang Cina tak marah, kita boleh berdialog dengan sesiapa sahaja tapi kita kena tunjuk konsisten kita, jati diri kita sendiri,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya Abdul Hadi turut menyifatkan PRK Port Dickson merupakan satu pilihan raya luar biasa mengikut amalan demokrasi kerana dibuat semata-mata untuk memilih orang yang mahu menjadi perdana menteri Malaysia.

“Wajarkah nak pilih perdana menteri Malaysia orang Port Dickson sahaja yang mengundi,” soalnya.

Abdul Hadi berkata, ia merupakan satu amalan yang tidak wajar kerana negara ini sudah mempunyai perdana menteri yang dipilih semasa pilihan raya umum ke-14 9 Mei lepas.