Hannah pertahan kritikan selepas dikecam di Sarawak

Hannah Yeoh dikecam di Sarawak kerana mengkritik sentimen pro-Sarawak.

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Hal Ehwal Wanita Hannah Yeoh mempertahankan kritikan terhadap sentimen “Sarawak untuk Sarawak” dan berkata rakyat tidak perlu dipecah-belahkan lagi dengan satu lagi faktor.

“Negara ini telah lama dipisahkan dengan isu perkauman dan agama dan hari ini timbul pula sentimen seperti Sarawak untuk orang Sarawak sahaja,” kata ahli Parlimen DAP itu hari ini, menjawab komen di media Sarawak yang tidak berpuas hati dengan kenyataannya di satu forum di Kuching minggu lepas.

“Kita memerlukan Malaysia Baharu yang menyatukan kita semua. Media tempatan di Sarawak telah menyerang saya dengan mendakwa saya gagal menghormati Sarawak. Malangnya, serangan tersebut tersasar jauh dari kebenaran,” katanya.

Slogan “Sarawak untuk Sarawak” digunakan oleh kumpulan dengan nama yang sama, lebih dikenali sebagai S4S, yang mengatakan negeri itu ditipu kerajaan persekutuan.

Susulan kenyataan Yeoh, jurucakap S4S Eric Leong membuat beberapa kenyataan terhadapnya, menuduh pemimpin beliau memandang rendah tuntutan rakyat Sarawak yang mahukan lebih banyak hak dalam persekutuan.

“Dia menghina dan mengkritik martabat rakyat Sarawak dan meminta rakyat Sarawak menggugurkan semua tuntutan dan mendedikasikan segala-galanya kepada Tanah Melayu.

“Tidak ada apa-apa untuk rakyat Sarawak,” kata Leong lapor Dayak Daily.

Yeoh menafikan dia tidak menghormati rakyat Sarawak, dan menambah “Malaysia Baharu” Pakatan Harapan tertumpu kepada memperkasa negeri.

“Buat pertama kalinya, Kerajaan Persekutuan yang baharu ini telah mengiktiraf hak serta kedudukan Sarawak dan Sabah dalam Malaysia. Saya menyokong sepenuhnya segala usaha yang dilakukan oleh pentadbiran baru Pakatan Harapan yang mengiktiraf dan menguatkuasakan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Beliau berkata 3 wilayah persekutuan iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak membentuk sebuah negara.

“Sebarang sentimen atau retorik politik yang bertujuan mengasingkan antara satu entiti dan mengasingkan rakyatnya daripada sebuah negara yang lebih besar, slogan seperti Sarawak untuk orang Sarawak, Sabah untuk orang Sabah, atau Semenanjung Malaysia untuk pihak yang lain, bukanlah sesuatu yang sihat dalam pembinaan sesebuah negara,” kata Yeoh.